Keyfield tandatangan perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Keyfield tandatangan perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia

(Dari kiri) Ketua Kewangan Korporat M&A Securities, Gary Ting; Pengarah Urusan M&A Securities, Datuk Bill Tan; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Keyfield, Datuk Darren Kee Chit Huei dan Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Keyfield, Mohd Erwan Ahmad.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mac - Keyfield International Berhad telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) penyewa tongkang kerja penginapan (AWB) itu bakal menerbitkan 209 juta saham baharu, mewakili 26.1% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan.

 

Daripada jumlah berkenaan, 40 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia menerusi undian manakala 24 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan. 

 

Sementara itu, 73 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan baki 72 juta untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

M&A Securities akan menaja jamin 64 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia, serta pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Keyfield dijangka melancarkan prospektusnya pada akhir Mac 2024 dan disenaraikan pada akhir April 2024.

 

M&A Securities ialah penasihat dan penaja jamin untuk IPO Keyfield. Ia juga merupakan ejen penempatan bersama dengan Maybank Investment Bank Berhad.

 

Perjanjian taja jamin tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Darren Kee Chit Huei manakala M&A Securities diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Bill Tan.

 

Keyfield dan anak-anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam penyewaan kapal, terutamanya bot kerja penginapan, yang memiliki 11 kapal dengan kapasiti antara 50 hingga 500 orang.  - DagangNews.com