Keyfield diramal catat prestasi kukuh 2QFY24, kapal beroperasi pada kapasiti hampir penuh - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyfield diramal catat prestasi kukuh 2QFY24, kapal beroperasi pada kapasiti hampir penuh - Kenanga Research

Semua kapal Keyfield beroperasi pada kapasiti hampir penuh selepas monsun, kata Kenanga Research. -Gambar Keyfield
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Kenanga Research menjangkakan Keyfield International Bhd akan mencatatkan prestasi yang kukuh pada suku kedua dan ketiga 2024 kerana semua kapal syarikat itu akan beroperasi pada kapasiti hamir penuh selepas musim monsun. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kebanyakan kapal penginapan berenjin (AWB) Keyfield kini terlibat dalam penyewaan jangka sederhana selama enam hingga sembilan bulan.

 

"Sekiranya permintaan untuk AWB kekal kukuh, kami meramalkan kumpulan tersebut mungkin dapat memperoleh kadar sewa harian (DCR) yang lebih tinggi untuk FY25. 

 

"Memandangkan bekalan kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang terhad di Malaysia dengan aktiviti yang kukuh, kami menjangka DCR akan terus meningkat dalam bulan-bulan akan dating," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research pada masa sama menaikkan ramalan pendapatan Keyfield bagi tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 2% selepas mengambil kira sewaan pihak ketiga kapal tunda pengendalian sauh (AHTS).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keyfield terima kontrak RM44.3 juta daripada CPOC bagi penyediaan AHTS untuk aktivit luar pesisir

 

"Keyfield telah memperoleh kontrak sewaan untuk penyediaan AHTS yang kami percayai akan dipenuhi menggunakan kapal pihak ketiga. 

 

"Ia juga sedang membeli sebuah AHTS terpakai dengan harga RM34.6 juta. Kami menaikkan ramalan pendapatan FY25F kami sebanyak 2% untuk mengambil kira sewaan kapal pihak ketiga (sementara peluasan kapal adalah selaras dengan andaian kami)," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu juga meningkatkan harga sasaran (TP) Keyfield sebanyak 2% kepada RM3.06 sesaham daripada RM3.00 dan mengekalkan saranan 'Outperform'.

 

"Kami menyukai Keyfield kerana kehadirannya dalam subsektor AWB yang berkembang pesat dengan bekalan yang terhad, umur kapalnya yang relatif muda iaitu lapan tahun dan kapal bertaraf DP2 yang lebih disukai oleh pelanggan dan modal yang kukuh disebabkan oleh tahap gear rendah," ujarnya. - DagangNews.com