KUALA LUMPUR 5 April - Rancangan kerajaan termasuk memperluaskan lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang dan Subang selain mewujudkan zon kewangan khas di Iskandar Malaysia dijangka mampu memberi kesan limpahan positif ke atas pasaran hartanah dalam jangka sederhana.
RHB Investment berkata, biarpun pasaran ekuiti tidak stabil, mereka masih melihat sektor hartanah mempunyai nilai dan mengekalkan penarafan “overweight” bagi sektor tersebut.
Tambahnya, kewujudan zon ekonomi dan projek infrastruktur adalah pemangkin berpotensi bagi sektor itu.
“Kami yakin dengan rancangan kerajaan untuk mewujudkan zon kewangan khas di Iskandar Malaysia dan mengembangkan lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang dan Subang, ia adalah untuk memenuhi permintaan iaitu jangkaan kemasukan pelabur, pengembara perniagaan dan pelancong.
“Walaupun butiran masih terhad pada ketika ini, kami percaya potensi perkembangan pemangkin ini boleh membantu meningkatkan keyakinan pembeli hartanah,” katanya dalam satu nota kajian.
Menurut firma itu, tesis pelaburan mereka terhadap sektor hartanah kekal tidak berubah iaitu kitaran naik kadar faedah hampir tamat dan pembukaan semula sempadan China dijangka dapat memberi manfaat kepada syarikat yang memiliki aset runcit dan hospitaliti.
Tambahnya, walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) setakat ini belum menaikkan lagi kadar dasar semalam (OPR), krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS) mungkin menggesa bank pusat di rantau ini untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah sambil memantau keadaan pasaran global.
“Ini agak menguntungkan bagi bakal pembeli hartanah kerana ini bermakna kadar gadai janji dikenakan berkemungkinan besar akan stabil pada paras semasa (pada c.4.0-4.1%) dalam tempoh 3-6 bulan akan datang.
“Kami juga percaya kitaran naik kadar faedah akan memuncak pada 1H23 dengan penilaian saham semasa telah pun mengambil kira kesan kenaikan kadar selanjutnya ke atas permintaan hartanah.
Mengulas lanjut, firma itu berkata, momentum jualan sektor itu dijangka akan kekal pada tahun ini.
Menurutnya, agregat jualan hartanah meningkat 11% QoQ pada 4Q22 dan biarpun terdapat beberapa pusingan kenaikan OPR dan tekanan inflasi yang meningkat, agregat jualan hartanah hanya menurun sebanyak 2% YoY pada 2022.
“Biarpun persekitaran politik yang tidak stabil menjelang akhir 2022 (semasa PRU15), pembeli hartanah secara relatifnya tidak terganggu oleh faktor makroekonomi ini, ia mungkin disebabkan oleh peningkatan ekonomi yang sihat pertumbuhan selepas wabak,” katanya.
Dalam pada itu, firma itu melihat ramai pemaju di bawah liputan mereka menjadi lebih optimistik di pasaran hartanah tahun ini, dipercayai didorong pelancaran dan sasaran jualan mereka yang lebih agresif.
Jika dibandingkan dengan sebelum ini, katanya, pemaju hanya mempunyai satu projek baharu dalam setahun dan kini ia berbeza sebagai contoh, UOA Development akan melancarkan tiga projek baharu pada tahun ini.
Selain itu, tambahnya, pemaju lain seperti SP Setia, UEM Sunrise dan Mah Sing telah menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi, membayangkan pertumbuhan 5-15% YoY untuk 2023F. - DagangNews.com








