KUALA LUMPUR – Kumpulan Affin Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) dan selepas zakat berjumlah RM408.5 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, meningkat 44.7% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pencapaian PBT yang lebih memberangsangkan pada separuh pertama itu dipacu pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi serta pendapatan Perbankan Islam, selari dengan pelan pertumbuhan AIM22.
Katanya, Affin Bank dan Affin Islamic Bank terus menjadi penyumbang utama kepada kumpulan, dengan PBT Affin Islamic Bank meningkat 70.5% kepada RM147.9 juta hasil pertumbuhan pembiayaan dan elaun rosot nilai yang lebih rendah.
“Kumpulan akan terus berwaspada mengambil kira suasana geopolitik dan makroekonomi yang mencabar.
"Kami juga akan terus memastikan kecairan, kualiti kredit dan tahap rizab modal kami mencukupi bagi mendepani sebarang ketidaktentuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi tempoh berkenaan, kumpulan merekodkan Pendapatan Faedah Bersih (NII) berjumlah RM488.1 juta,
meningkat RM70 juta atau 16.7% berbanding RM418.1 juta pada tempoh kewangan sebelumnya, disumbang oleh pertumbuhan jumlah pinjaman pada separuh pertama 2022.
Pendapatan bukan faedah untuk tempoh tersebut berjumlah RM306.6 juta, berkurangan sebanyak RM136.2 juta atau 30.8% daripada RM442.8 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Penurunan itu disebabkan keuntungan bersih yang lebih rendah daripada penjualan instrumen kewangan,
pendapatan lain dan yuran bersih serta pendapatan komisyen.
Affin Islamic Bank terus menjadi penyumbang signifikan kepada Kumpulan Affin dan ini dipamerkan menerusi PBT mereka yang telah meningkat sebanyak 70.5% kepada RM147.9 juta hasil daripada pertumbuhan pembiayaan dan elaun rosot nilai yang lebih rendah.
PBT Affin Islamic Bank yang lebih baik ini juga dipacu oleh pertumbuhan pembiayaan yang memberangsangkan pada kadar 18.6% dari tahun ke tahun dan elaun rosot nilai yang lebih rendah.
Affin Islamic Bank juga mencatatkan peningkatan ketara dalam aspek kualiti aset iaitu sebanyak 0.57% dalam Pembiayaan Terjejas Kasar kepada 0.98% pada separuh pertama 2022 berbanding 1.55% bagi tempoh sama tahun lalu.
Perbelanjaan operasi telah sedikit meningkat kepada RM690.8 juta bagi tempoh berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM681 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Nisbah kos kepada pendapatan bagi tempoh ini adalah pada kadar 62.3%, meningkat sedikit berbanding 61% bagi separuh pertama 2021. - DagangNews.com








