Kesan subsidi bersasar kepada industri pembinaan dijangka kecil, kos bahan api sekitar 1-2% - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kesan subsidi bersasar kepada industri pembinaan dijangka kecil, kos bahan api sekitar 1-2% - RHB Investment

Menurut RHB Investment, kesan subsidi bersasar terhadap para kontraktor akan dirasai secara tidak langsung, iaitu dari segi pengangkutan bahan binaan ke tapak pembinaan. Gambar Dagang News
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 April - Pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan dijangka tidak memberi kesan secara langsung kepada syarikat pembinaan kerana bahan api dan elektrik hanya membentuk 1-2% daripada keseluruhan kos sektor tersebut.

 

Menurut RHB Investment Bank (RHB Investment), komponen kos 1-2% itu boleh dianggap kecil bagi sesebuah syarikat kontraktor.

 

"Secara amnya, kami berpendapat kesan terhadap para kontraktor akan dirasai secara tidak langsung, iaitu dari segi pengangkutan bahan binaan ke tapak pembinaan, yang melibatkan kenderaan yang menggunakan bahan api pada kadar bersubsidi semasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semalam mengesahkan kerajaan tetap akan melaksanakan subsidi bersasar pada tahun ini bagi mengurangkan defisit fiskal negara.

 

Kata Rafizi, pemotongan subsidi itu bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Subsidi bersasar tetap dilaksana kerajaan pada 2024, pemotongan secara berperingkat - Rafizi

 

Sementara itu, dalam nota kajian yang sama, RHB Investment menjangkakan pengumuman konsortium yang disenarai pendek untuk membina projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura mungkin dibuat sebelum akhir separuh pertama tahun 2024 (1H24).

 

"Pengumuman untuk peringkat kertas cadangan itu bagaimanapun tertakluk pada kelulusan pihak Kerajaan selepas penilaian oleh MyHSR Corp," jelasnya.

 

Dalam pada itu, faktor pemangkin utama sektor pembinaan ialah pelaksanaan projek-projek mega dengan lebih cepat daripada yang dijangka seperti projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), yang dijangkakan dilancarkan pada akhir 4Q24 atau awal 1Q25.

 

Katanya, ini memandangkanMRT Corp merancang untuk memuktamadkan tanah untuk diambil alih pada 3Q24.

 

PEMBINA
Gambar Dagang News

 

"Kami ingin menekankan bahawa buku pesanan bagi sektor pembinaan bakal ditingkatkan lagi apabila pihak Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan usaha suntikan ekonomi seperti projek lebuh raya di Borneo dan Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (LRT). 

 

"Faktor-faktor seperti bekalan buruh yang mencukupi, di samping kos bahan binaan yang terkawal, dapat terus memudahkan dan melancarkan pelaksanaan kerja yang diterima kontraktor," ujarnya.

 

Kata RHB Investment, data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menunjukkan nilai bagi projek-projek pembinaan yang ditawarkan pada 1Q24 mencecah MYR30.8bn (1Q23: MYR31.3bn). 

 

Ujarnya, nilai ini belum lagi melibatkan kontrak untuk tiga segmen di bawah projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, yang mungkin bernilai lebih RM10.5 bilion.

 

"Di Malaysia Timur, empat daripada 20 pakej kerja di bawah Fasa 1B Lebuh Raya Pan Borneo Sabah (RM15.7 bilion) telah ditawarkan setakat 22 Mac, dan 16 pakej lagi sedang menjalani proses pemerolehan sebelum dimuktamadkan pada April. 

 

"Perkara ini bermakna projek ini sedang berkembang dengan baiknya," katanya.

 

RHB Investment juga mengekalkan saranan 'Wajaran Tinggi" ke atas sektor pembinaan dengan syarikat pilihan utamaialah Gamuda, Kerjaya Prospek, dan Sunway Construction, kerana memaparkan potensi baik untuk menjana perolehan sepanjang dua tahun seterusnya. 

 

"Gamuda mempunyai jejak kehadiran yang besar di luar negara sambil masih lagi aktif dalam pasaran tempatan. 

 

"Kerjaya Prospek dan SunCon mempunyai perancangan projek yang mantap daripada urus niaga pihak berkaitan dengan syarikat induk mereka, selain turut terlibat dalam kerja-kerja perindustrian," jelasnya. - DagangNews.com