KUALA LUMPUR 29 Ogos - Public Investment Bank (PublicInvest) percaya kesan pengukuhan ringgit ke atas eksport Able Global Berhad adalah minimum kerana sebahagian besar bahan mentahnya dinyatakan dalam dolar AS.
Firma penyelidikan itu bekata, selain itu, kos bahan mentah yang lebih rendah seharusnya diterjemahkan kepada peningkatan margin keuntungan pada masa akan datang.
"Perlu diingat bahawa harga susu telah stabil dengan penyusutan kira-kira 5% berbanding awal tahun sementara harga gula telah menurun sebanyak kira-kira 20% YTD," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, PublicInvest optimis mengenai pertumbuhan pendapatan Able Group kerana permintaan untuk produk tenusu dijangka kekal kukuh memandangkan sifat perniagaannya yang berdaya tahan.
"Kami menjangkakan sumbangan yang lebih kukuh daripada operasi di Mexico, dengan eksport yang lebih baik ke negara jiran republik itu terutamanya ke Amerika Syarikat (AS)," jelasnya.

Menurut firma penyelidikan itu, pendapatan Able Group untuk 2QFY24 meningkat sebanyak 14.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM179.2 juta, dengan kedua-dua segmen pembuatan tin (+26.8% YoY) dan makanan & minuman (+12.3% YoY) mencatatkan jualan yang lebih kukuh.
Katanya, setelah disesuaikan dengan item bukan teras, keuntungan bersih teras Able Group adalah RM18.3 juta, meningkat 119% YoY, kemungkinan didorong oleh kecekapan pengeluaran yang lebih baik dari kedua-dua segmen dan kos input yang lebih rendah.
"Sebaliknya, operasi Able Group di Mexico mengalami kerugian sebanyak RM400,000 terutamanya disebabkan oleh turun naik mata wang yang tidak menguntungkan.
"Kami mendapati bahawa eksport dari operasi Mexico telah meningkat secara konsisten dan kini beroperasi pada kadar penggunaan yang lebih tinggi iaitu 35-40% (sebelumnya 25-30%) kerana kumpulan telah mula mengeksport seluruh rangkaian produk (susu krim penuh dan susu isi) ke AS," ujarnya.
PublicInvest mengekalkan saranan 'Outperform' Able Group dan menetapkan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi iaitu RM2.55 sesaham. - DagangNews.com








