Kerugian pertama Marks & Spencer selepas 94 tahun | DagangNews Skip to main content

Kerugian pertama Marks & Spencer selepas 94 tahun

 

 

LONDON 4 Nov. - Jenama terkenal Eropah, Marks & Spencer (M&S) 'kecundang' kali pertama dalam tempoh 94 tahun apabila jualan bajunya merosot akibat pandemik COVID-19. 

Menurut Reuters, syarikat itu melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak 17.4 juta pound dalam tempoh 26 minggu sehingga 26 September, sejak ia disenaraikan pada 1926. 

Penganalisis sebelum ini menganggarkan jenama baju itu akan berdepan kerugian 59 juta pound berbanding keuntungan 176 juta pound yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

Jualan pakaian dan kelengkapan rumah jatuh 21.3% pada suku kedua selepas suku pertama mencatatkan penurunan 61.5%, apabila COVID-19 menyebabkan sekatan dilaksanakan selama tiga bulan dan memberi kesan kepada permintaan pelanggan. 

Pandemik itu menyaksikan pengeluar pakaian menerima impak buruk. Semalam, Primark berdepan penurunan 63% dalam keuntungan tahunan dan Next pula diunjur 50%. 

Pada separuh pertama, jualan makanan M&S naik 2.7% walaupun prestasi lemah daripada kedai di pusat bandar dan hab pengangkutan berikutan arahan kerajaan bekerja dari rumah, tetapi diimbangi dengan jualan lebih baik di kedai pinggir bandar. 

Syarikat tersebut juga mendapat manfaat daripada kerjasama dengan Ocado, memberi kelebihan kepada operasi jualan makanan M&S melalui dalam talian buat kali pertama. 

Dalam masa sama, saham M&S juga susut 57% tahun ini dengan dagangan dalam tempoh 4 minggu pertama pada separuh kedua berterusan mencatat kadar yang sama pada akhir suku kedua. 

Ini disebabkan perolehan pakaian dan kelengkapan rumah menurun 21.5%, makanan meningkat 3% dan segmen antarabangsa pula meningkat 7.4%. 

Syarikat itu kini bimbang apabila sekatan baharu dikenakan selama empat minggu lagi di England, dijangka memberi kesan kepada jualan dan keuntungannya. - DagangNews.com