KUALA LUMPUR 7 Jun - CIMB Foundation meneruskan kerjasama dengan Teach For Malaysia (TFM) untuk memberikan akses kepada pendidikan berkualiti untuk pelajar di seluruh Malaysia melalui program yang berimpak tinggi.
Sejak 2021, kerjasama tersebut telah berjaya menjana impak positif kepada lebih 3,000 pelajar di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, di samping melatih seramai 20 tenaga pengajar untuk menjadi pendidik yang berkaliber sambil menyokong sekolah berkeperluan tinggi di bawah sistem pendidikan kerajaan.
Antara inisiatif-inisiatif teras TFM termasuk TFM Fellowship, modul Learn-From-Home, KelasKita dan Program Komuniti Perkasa.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menyokong TFM dan program-programnya ke arah akses saksama terhadap pendidikan berkualiti untuk semua.
"Ini selaras dengan salah satu teras kami iaitu pendidikan, yang mana kami berharap dapat membina platform pembelajaran yang berdaya tahan untuk pelajar. Kami percaya bahawa semua kanak-kanak berhak mendapat pendidikan berkualiti, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka.
"Perubahan itu harus bermula di dalam bilik darjah, yang mana pendidik boleh memberi inspirasi secara langsung dan memberikan impak yang bermakna kepada pelajar dan komuniti sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TFM, Chan Soon Seng pula berkata, pihaknya percaya bahawa pendidikan berkualiti merupakan asas yang sangat penting untuk mendorong semua kanak-kanak dan remaja merealisasikan potensi mereka.

Beliau menzahirkan penghargaan atas sokongan CIMB Foundation yang telah memainkan peranan penting dalam pengembangan Teach For Malaysia kepada komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor, komuniti Orang Asli di Perak, serta daerah-daerah di Sarawak.
"Sebagai rakan kongsi strategik TFM, CIMB Foundation mendorong kami untuk terus komited dalam mememobilisasi pemimpin yang akan memastikan perubahan penting dilaksanakan dalam sistem pendidikan kita agar setiap kanak-kanak mempunyai peluang yang adil untuk mendapat pendidikan berkualiti," katanya.


Sementara itu, CIMB Foundation menyokong beberapa program anjuran TFM terdiri daripada yang berikut:
Teach For Malaysia Fellowship
Ia merupakan Program Pembangunan Kepimpinan selama dua tahun yang mana calon pemimpin ditempatkan di sekolah kerajaan berkeperluan tinggi di luar bandar dan komuniti yang kurang berkemampuan untuk mengembangkan hasil pelajar, di samping membangunkan kemahiran dan pemahaman sistem pendidikan.
Setelah tamat program, mereka akan terus memacu impak sistematik dalam bidang pendidikan sebagai alumni. Sejak permulaan program ini pada 2012, program tersebut kini dianggotai seramai 495 ahli dan alumni dan telah menyumbang kepada 219 inisiatif pendidikan dan mengasaskan 12 organisasi berimpak sosial.
Program ini telah diperluaskan untuk turut menempatkan ahli-ahlinya di sekolah bermajoriti Orang Asli pada 2022 dan akan berkembang ke Sarawak pada Jun 2023.
Learn From Home programme
Program ini disampaikan melalui modul pembelajaran pada platform dalam talian dan mudah alih FrogAsia yang sejajar dengan sukatan pelajaran kerajaan.
Dicipta oleh TFM dan YTL Foundation, ia merupakan mod pembelajaran utama untuk pelajar semasa perintah kawalan pergerakan, dan terus menjadi sistem pembelajaran berdaya tahan yang mana pelajar boleh mengakses sumber pembelajaran berkualiti tinggi selaras dengan kurikulum, pada bila-bila masa.
Sejak diperkenalkan, platform itu telah diakses lebih sejuta kali, meliputi pelajaran dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains untuk pelajar dari darjah satu hingga tingkatan lima.
Sebanyak 993 modul telah dibangunkan melalui kerjasama antara YTL Foundation, CIMB Foundation dan TFM pada akhir 2022. Program ini telah dinobatkan dengan People’s Choice Award at the Constellations Awards 2022 oleh Asian Venture Philanthropy Network (AVPN), rangkaian pelaburan sosial terkemuka di Asia.

KelasKita and Program Komuniti Perkasa
KelasKita adalah program pembelajaran atas talian yang memberikan pendidik kebolehan untuk mengadakan kelas tuisyen melalui sukarelawan dalam komuniti setempat. Manakala Program Komuniti Perkasa (PKP) menyasarkan pelajar yang menetap di PPR untuk mengambil alih pembelajaran mereka melalui bengkel penetapan matlamat.
Kedua-dua program itu memberi sokongan kepada pelajar melalui penglibatan ibu bapa, mentor, dan sukarelawan. PKP baru-baru ini dijalankan untuk pelajar yang menetap di PPR Hicom, Shah Alam dan PPR Seri Kota, Cheras.
Setakat ini, seramai 500 pelajar telah mendapat manfaat melalui program ini, dibantu oleh 11 ketua komuniti, 75 mentor dan 81 ibu bapa. - DagangNews.com








