Kerajaan tubuh Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan tubuh Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Kerajaan bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan itu bagi menyokong konsep Projek Pemangkin dalam memacu Aspirasi MyDIGITAL. 

 

Beliau berkata, Projek Pemangkin akan dibiayai oleh sektor swasta dan kerajaan yang akan memainkan peranan sebagai pemudahcara.

 

"Antara contoh projek pemangkin adalah perubatan pintar menyasarkan penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat.

 

"Bandar Pintar menyasarkan pelbagai kes kegunaan berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) berkenaan Pemerkasaan Teknologi Baharu dan Pelaburan Ekonomi Digital Strategik Ke Arah Pendigitalan Negara Secara Holistik.

 

Ia yang diadakan buat kali pertama bagi tahun 2022 dihadiri oleh Menteri-Menteri serta Ketua Jabatan dan Agensi terlibat secara dalam talian.

 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 19 Februari ini merupakan ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL sebagai satu inisiatif kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau juga berkata, beberapa program telah dan akan dilaksanakan di sepanjang bulan ini dan Mac, seperti Technopreneur Industry Dialogue, beberapa siri dialog anjuran World Bank dan MyDIGITAL Corporation, Program Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Baru, Kelantan, Sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamic Digital Technology dan Program Celik Digital Penjawat Awam. 

 

"Keberhasilan MyDIGITAL akan menjadi penentu kejayaan pendigitalan Keluarga Malaysia seperti yang diharapkan menjelang tahun 2030 nanti," katanya. - DagangNews.com