Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
PUTRAJAYA 18 Nov – Kerajaan berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki oleh syarikat milik kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan dalam memastikan peniaga-peniaga tempatan khususnya Bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka di situ.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga mengambil maklum bahawa golongan Bumiputera masih rendah dari segi pemilikan premis perniagaan di pusat beli belah berprestij dan lokasi-lokasi tumpuan pelancongan.
‘’Walaupun ada di antara pusat beli belah ini dimiliki oleh GLC, namun peniaga Bumiputera dilihat masih kurang berkemampuan mendapatkan ruang perniagaan di premis berkenaan kerana kadar sewa yang dikenakan terlalu tinggi selain faktor persaingan,’’ kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) menerusi sidang video semalam bagi membincangkan usaha memperkasa dan memperkukuh pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera.
Mesyuarat turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dato’ Dr. Abdul Latiff Ahmad dan disertai Menteri-Menteri Kabinet serta tokoh-tokoh perniagaan Bumiputera.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut mencadangkan agar kuota jumlah premis perniagaan milik Bumiputera di lokasi-lokasi strategik diwujudkan selaras dengan usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi Bumiputera.
Namun kuota ini kata Ismail Sabri, akan diuruskan dengan cara telus dan adil agar matlamat utama untuk membantu perniagaan Bumiputera yang layak dan berpotensi tercapai, tanpa disalah guna sehingga tersasar daripada objektif sebenar, sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Merujuk kepada penglibatan Bumiputera dalam perolehan Kerajaan, mesyuarat dimaklumkan bahawa syarikat Bumiputera telah memperoleh sebanyak 80% daripada nilai kontrak tahunan keseluruhan agensi kerajaan.
Pada masa yang sama kata Perdana Menteri, Kerajaan komited untuk memastikan GLC dan GLIC turut menyokong aspirasi penglibatan syarikat Bumiputera dalam perolehan mereka.
``Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa peluang penyertaan syarikat Bumiputera terbuka luas dalam projek-projek pembangunan Sistem Rangkaian 5G oleh sebuah syarikat milik penuh Kerajaan.
``Syarikat Bumiputera akan mendapat manfaat sehingga 60% daripada anggaran keseluruhan kos projek bagi tempoh 10 tahun pelaksanaannya,’’ kata Ismail Sabri.
Sekali lagi kata Perdana Menteri, sistem perolehan akan diurus dengan telus dan adil supaya hanya syarikat Bumiputera yang layak atas merit akan mendapat manfaat tersebut. – DagangNews.com








