Kerajaan Selangor batal permohonan projek lebuh raya PJD Link berikutan tidak menepati syarat - Menteri Besar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Selangor batal permohonan projek lebuh raya PJD Link berikutan tidak menepati syarat - Menteri Besar

Penduduk sekitar mengadakan perhimpunan aman bagi membantah cadangan pembinaan lebuh raya PJD Link pada 3 April 2023 - Gambar Facebook Say No To PJD Link.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai - Kerajaan Negeri Selangor membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) berikutan tidak menepati syarat yang ditetapkan.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan cadangan itu terutama apabila mengambil kira laporan penilaian impak.

 

"Berkait dengan dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya daripada segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

 

"Oleh demikian, Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat meneruskan cadangan ini dan memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya PJD Link," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Amirudin berkata, kerajaan negeri telah meneliti beberapa aspek berhubung cadangan pembinaan lebuh raya tersebut di kawasan bandar raya Petaling Jaya.

 

Beliau berkata, pada awalnya, cadangan pembinaan lebuh raya ini mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri Persekutuan pada 12 November 2017.

 

Katanya, cadangan ini kemudian dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 September 2020 dan diberi ruang untuk kajian dijalankan dengan melibatkan penduduk di kawasan Petaling Jaya.

 

 

pjdlink

 

 

pjdlink

 

 

"Seterusnya, ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan bersyarat supaya cadangan ini memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor," katanya.

 

Katanya, sebelum perjanjian dimeterai, perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan pemaju berkenaan telah ditandatangani pada 5 April 2022 dengan syarat syarikat berkenaan melaksanakan secara penuh kajian 'Environmental Impact Assessment (EIA)', kajian 'Social Impact Assessment (SIA) dan kajian 'Traffic Impact Assessment (TIA)'.

 

Sehubungan itu katanya, prinsip pentadbiran ini adalah supaya pembangunan di Selangor mencapai keseimbangan antara kemampanan, kemajuan eknomi negeri, serta tidak membawa kemudaratan kepada rakyat negeri Selangor.

 

 

pjdlink

 

 

PJD Link telah mendapat tentangan sejak ia diumumkan, dengan pengkritik mengatakan ia akan mengancam beberapa kawasan kejiranan tertua di Petaling Jaya dan memaksa penduduk untuk berpindah.

 

Mereka juga mempersoalkan keperluan untuk satu lagi lebuh raya, mengatakan ia boleh menyebabkan pembaziran sumber dan menaikkan harga hartanah.

 

Penduduk sekitar juga mendakwa pembinaan lebuh raya itu berisiko memusnahkan pokok-pokok, sekali gus menyebabkan banjir teruk kelak, termasuk memberi kesan bunyi bising serta pencemaran udara kepada sekolah berhampiran.

 

 

pjdlink

 

 

Selain itu, penduduk mendakwa, alasan untuk membina PJD Link bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas tidak relevan kerana kawasan berhampiran mempunyai akses kemudahan pengangkutan awam, termasuk Transit Aliran Ringan (LRT).

 

Pada 6 Jun 2023, syarikat konsesi lebuh raya PJD Link (M) Sdn Bhd mengumumkan bahawa ia telah memperoleh RM922 juta dalam pembiayaan sebagai sebahagian daripada pembiayaan projek itu.

 

Syarikat itu juga menandatangani perjanjian utama dengan MCC Overseas (M) Sdn Bhd (MCC Malaysia) - anak syarikat China Metallurgical Group Corporation, yang merupakan konglomerat kejuruteraan pembinaan yang disenaraikan di bursa saham Shanghai dan Hong Kong - untuk melantik MCC Malaysia sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan PJD Link.

 

 

pjdlink
Antara kawasan yang dicadangkan bagi pembinaan lebuh raya PJD Link di Jalan Utara, Petaling Jaya. - Gambar Twitter Transit Malaysia

 

 

PJD Link yang dicadangkan ialah lebuh raya empat lorong sepanjang 25.4 kilometer yang bermula selepas plaza tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

 

Ia akan menghubungkan Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Pusat Bandar Petaling Jaya, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara, dan Taman Teknologi Bukit Jalil. - DagangNews.com