Kerajaan sedia Geran Rukun Tetangga RM50 juta perkukuh peranan KRT - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sedia Geran Rukun Tetangga RM50 juta perkukuh peranan KRT - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

JOHOR BAHRU 9 Mac - Kerajaan sentiasa mengiktiraf dan menghargai jasa serta pengorbanan sukarelawan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang bertindak sebagai barisan hadapan masyarakat untuk membantu kerajaan memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tahun ini kerajaan menyediakan Geran Rukun Tetangga sebanyak RM50 juta bagi memperkukuhkan peranan KRT dalam komuniti melalui pelaksanaan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga yang merangkumi Gerak Kerja KRT Sejahtera, Gerak Kerja KRT selamat, Gerak Kerja KRT Sihat serta Gerak Kerja KRT Bersih dan Indah.

 

Beliau berkata, KRT adalah sebuah organisasi sukarela yang ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 1975 sebagai wadah penyatuan masyarakat pelbagai kaum. 

 

Jelasnya, asal penubuhannya adalah untuk memastikan keamanan dan keselamatan kawasan kediaman yang kini diperluaskan selari dengan perubahan serta cabaran semasa.

 

"Kini terdapat sebanyak 8,330 KRT di seluruh negara dan di Johor sahaja terdapat 837 KRT," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di Kompleks Sukan Komuniti, Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, sesuai dengan tema ‘Mendepani Cabaran untuk Kesejahteraan Keluarga Malaysia', pelaksanaan inisiatif berdasarkan isu serta cabaran dalam komuniti menunjukkan KRT perlu sentiasa peka dan prihatin dengan perkembangan semasa, selain sentiasa dekat di hati Keluarga Malaysia.

 

Beliau berkata, dua tahun kebelakangan ini adalah tempoh paling sukar disebabkan pandemik COVID-19 dan bencana banjir yang mengakibatkan kerugian besar kepada Keluarga Malaysia di beberapa negeri termasuk Johor.

 

"Namun begitu, di sebalik musibah ada rahmat yang tersirat, terdapat kebersamaan petugas-petugas barisan hadapan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Keluarga Malaysia, berganding bahu mengurangkan beban mangsa yang terkesan.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Kementerian Perpaduan Negara kerana merealisasikan konsep Keluarga Malaysia dalam pelbagai bentuk program yang spesifik dan konkrit. 

 

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam mendukung semangat Keluarga Malaysia. 

 

Ismail Sabri berkata, ia dilakukan melalui Gerak Kerja Komuniti Rukun Tetangga sehingga menyemarakkan keprihatinan Rukun Tetangga terhadap masyarakat yang terjejas dengan pelbagai musibah.

 

"Sebagai contoh, semasa negara berdepan dengan pandemik COVID-19, bantuan kotak makanan dihulurkan kepada warga KRT melalui inisiatif Program Skuad Uniti RT Cares selain keperluan kesihatan yang meliputi kerusi roda, katil perubatan dan keperluan lain yang bersesuaian dengan komuniti terbabit. 

 

Beliau berkata, kementerian telah menyediakan hala tuju KRT yang jelas dan komprehensif melalui penyediaan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030. 

 

"Ia dapat memberi khidmat yang benar-benar berkualiti dan cemerlang kepada Keluarga Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata, Laporan Indeks Keamanan dan Global 2021 boleh dijadikan penanda aras dalam mengukur tahap perpaduan buat masa kini. 

 

Katanya, Malaysia kini berada di tangga ke-23 daripada 163 buah negara paling aman di dunia dan kelima paling aman di Asia selepas New Zealand, Singapura, Jepun dan Australia. 

 

"Saya percaya ramai pernah menjadi ahli Rukun Tetangga. Saya juga pernah menjadi ahli rukun tetangga di kawasan komuniti saya. Disebabkan itu peranan KRT amat penting bagi memastikan keselamatan komuniti," katanya. - DagangNews.com