KUALA LUMPUR 21 Feb - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan supaya meneroka sumber hasil baharu dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula, Jumaat ini.
Ini memandangkan penyatuan belanjawan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada pengurangan perbelanjaan, demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh.
Beliau mendapati hasil kerajaan di Malaysia adalah rendah dan ketinggalan berbanding beberapa negara lain.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengesyorkan hasil cukai sebanyak 15% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai minimum yang diperlukan untuk pembangunan mampan, tetapi pada 2021 hasil cukai sebagai sebahagian daripada KDNK Malaysia hanya mencapai kira-kira 11.2%.
Keadaan ini berlaku selepas penurunan berterusan selama sedekad daripada paras tertinggi 15.6% daripada KDNK pada 2012.
"Dengan hasil kerajaan dijangka terus menurun pada 2023 disebabkan oleh harga minyak mentah yang menyederhana, kerajaan harus mempertimbangkan untuk menyemak semula pendapatan peribadi atau cukai jualan dan perkhidmatan.
"Perbincangan mengenai pemulangan bentuk cukai penggunaan juga perlu dilakukan segera selari dengan jaringan keselamatan sosial yang disemak semula," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bajet 2023 akan dibentang semula di Parlimen pada 24 Februari ini susulan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 November lalu.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, Bajet 2023 yang bakal dibentang semula itu tidak akan terikat dengan apa yang dibentang oleh kerajaan terdahulu pada 7 Oktober 2022 (yang tidak sempat diluluskan setelah Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15).
Menurut Yeoh lagi, kerajaan perlu membina ruang fiskal untuk mengimbangi semula keutamaan dalam perbelanjaan kerajaan terutama dalam sektor kesihatan yang mengalami masalah kekurangan dana yang kronik.
"Bajet kali ini perlu menangani keperluan infrastruktur dan perkhidmatan kritikal dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan.
"Walaupun IDEAS mengalu-alukan peningkatan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan daripada 9.1% kepada 10.4% daripada jumlah belanjawan dari 2019 hingga 2022, Malaysia masih berbelanja secara relatifnya lebih rendah berbanding negara yang setara dengannya seperti Thailand dan Singapura," jelasnya. - DagangNews.com








