KUALA LUMPUR 14 Jun - Kerajaan masih meneliti cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh berkata kerajaan juga telah menubuhkan jawatankuasa pro tem untuk membincangkan hala tuju cadangan itu susulan mesyuarat Kabinet pada 19 April lalu.
“Selain itu, pada 17 Mei, mesyuarat peringkat kerja telah diadakan untuk membincangkan terma rujukan atau TOR. Jawatankuasa pro tem juga akan mengesyorkan hasil penemuan mereka untuk mendapatkan keputusan dasar untuk penelitian Kabinet.
“Pelaksanaan perkara disiplin perlu diuruskan secara sistematik, supaya pemantauan salah laku pegawai tadbir dan pelaksana di agensi penguatkuasaan dilakukan secara holistik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Pakatan Harapan-Kuala Selangor) berhubung cadangan meletakkan SPRM di bawah EAIC bagi memastikan kawalan disiplin yang berkesan, dan meningkatkan integriti suruhanjaya itu.
Ramkarpal berkata, kajian itu juga melibatkan cadangan pelantikan anggota AIEC di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebagai langkah memperkukuh fungsi dan integriti agensi penguatkuasaan itu. - DagangNews.com








