KUALA LUMPUR 29 Sept - Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji (TH) bagi menambah baik pengurusan dan kecekapan Lembaga TH, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta berkenaan akan dibentang di Parlimen selewat-lewatnya pada sesi Parlimen awal tahun depan.
"(Kerajaan) akan meminda Akta TH bagi memenuhi maksud maqasid bukan saja pengurusan tapi juga kecekapannya untuk berfungsi memberi penghayatan kepada ibadah umat Islam.
"Kita akan cuba.. kalau tak sempat sesi Parlimen November ini, saya cuba awal tahun depan akan dibentangkan," katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.
Pada Januari 2021, bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyatakan, satu usaha sedang dijalankan kerajaan ketika itu serta Kementerian Kewangan (MOF) untuk menyemak semula ketetapan Jaminan Kerajaan termasuklah kemungkinan pindaan ke atas Akta 535.
Ketetapan Jaminan Kerajaan itu sekali gus menyentuh Seksyen 24 Akta 535, yang antara lain menjelaskan bahawa setiap sen wang yang didepositkan oleh para pendeposit ke dalam TH adalah dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
Sementara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam kenyataan pada Mac 2022 pula menyebut pindaan akta itu bagi membolehkan pendedahan maklumat pendeposit dan pelaksanaan hiwalah oleh Mahkamah Syariah di TH dengan menahan akaun pendeposit bagi pembayaran tunggakan nafkah terhadap isteri atau anak, Berita Harian melaporkan.
Untuk rekod juga, cadangan meminda Seksyen 24 Akta 535 pernah diusahakan oleh Bank Negara di bawah Gabenor Tan Sri Zeti Akhtar Aziz atas alasan untuk meratakan padang persaingan (level playing field) dalam sistem kewangan negara, tetapi tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak. - DagangNews.com








