Keputusan 3QFY24 Media Prima tidak memuaskan, kekurangan adex punca - RHB Investment  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan 3QFY24 Media Prima tidak memuaskan, kekurangan adex punca - RHB Investment 

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Mei - RHB Investment Bank berkata, kekurangan perbelanjaan iklan (adex) menyebabkan keputusan suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) Media Prima Berhad yang diumumkan semalam tidak memuaskan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, prestasi Media Prima bagaimanapun meningkat secara tahun ke tahun (YoY) disebabkan inisiatif pengurusan kos strategik walaupun terdapat penurunan berperingkat secara berurutan.

 

"Walaupun segmen penyiaran mencatatkan penurunan 41% YoY (selepas tidak termasuk hasil antara segmen), untung selepas cukai (PAT) meningkat lwbih 10x kepada RM3.5 juta (1QCY23: RM0.3 juta) pada margin yang lebih baik hasil daripada kecekapan operasi yang lebih baik, pada pandangan kami," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
 

Sementara itu, kata RHB Investment, jualan beli-belah dari rumah mencatat kejutan dengan peningkatan (+12% QoQ) dan kerugian yang lebih kecil sebanyak RM2.7 juta (2QFY24: -RM3.4juta), disokong oleh jualan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidil Fitri

 

Katanya, pendapatan pengiklanan luar (OOH) meningkat sebanyak 45% YoY (-1% QoQ), manfaat daripada peningkatan permintaan untuk papan tanda digital yang mencerminkan pemulihan perbelanjaan pengguna. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Prospek Media Prima kekal mencabar, kata HLIB

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menjangkakan Media Prima akan menaik taraf lebih banyak papan tanda statik kepada varian digital untuk memanfaatkan trend kenaikan OOH. 

 

Oleh itu, RHB Investment mengekalkan pandangan terhadap pemulihan ringan dalam pendapatan, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam segmen OOH dan usaha optimasi kos.

 

"Kami tetap berhati-hati optimistik terhadap pemulihan pendapatan Media Prima yang lebih kuat pada separuh kedua tahun 2024 (2HCY24)," jelasnya.

 

Kata RHB Investment, pendapatan teras bagi 3QFY24 sebanyak RM1.9 juta membawa pendapatan teras 9MFY24 kepada RM13 juta atau pada kadar 59% dan 43% daripada anggaran pihaknya.

 

Jelas firma itu, anggaran yang menyimpang ini terutamanya disebabkan oleh pendapatan adex yang lebih rendah daripada yang dijangka. 

 

"Kami menurunkan anggaran pendapatan untuk FY24F-26F sebanyak 16-28% selepas menyesuaikan jangkaan pendapatan. 

 

"Walaupun Media Prima akan mengambil masa untuk pulih, kami percaya ia bersedia untuk pulih daripada titik terendah FY23. Kami menaikkan sedikit harga sasaran (TP) kepada 45 sen sesaham daripada 41 sen," katanya yang mengekalkan saranan Neutral.

 

 

Bagi 3QFY24, Media Prima mencatatkan hasil sebanyak RM213.2 juta dan PAT sebanyak RM1.9 juta manakala hasil bagi 9MFY24 adalah sebanyak RM650.9 juta .-DagangNews.com