KUALA LUMPUR 12 Julai - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.76 sesaham.
Menurut firma itu, purata jualan runcit untuk semua aset runcitnya pada separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) adalah 10 hingga 15% lebih tinggi daripada tahap sebelum pandemik COVID-19 (separuh pertama FY19).
Katanya, dengan peningkatan dalam jualan kedai runcit selepas pembukaan semula ekonomi, rebat sewa pada FY22 dijangka jauh lebih rendah berbanding FY20 hingga FY21.
"Walaupun peratusan besar sewaan akan tamat pada FY22, kami percaya bahawa majoriti penyewaan ini akan diperbaharui.
"Ini memandangkan peningkatan ketara dalam jualan penyewa dan kedatangan pengunjung ke pusat membeli-belah, justeru, risiko kehilangan penyewa dilihat rendah untuk tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam pertemuan firma itu dengan pengurusan kumpulan baru-baru ini, didapati rangkaian hotel di bawah Sunway REIT mencatatkan purata kadar penghunian sebanyak 40% setakat ini berbanding 69% pada 2019.
Pelancong dari Singapura, Asia Barat dan China merangkumi sebahagian besar pelawat asing ke rangkaian hotel miliknya semasa tempoh prapandemik.

AmInvestment menganggarkan dengan sumbangan minimum daripada pelancong asing, kadar penghunian hotelnya akan mencecah 50% bagi FY22.
"Sekiranya kedatangan pelancong ini semakin meningkat, ia secara tidak langsung akan menaikkan lagi unjuran kami," tambahnya.
Selain itu, katanya, kumpulan juga memaklumkan sedang berunding dengan Sunway Medical Centre (Tower A&B) bagi memperbaharui perjanjian sewaan, yang akan berakhir 31 Disember 2022.
Buat masa ini, syarat-syarat perjanjian masih belum dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak. Sebelum ini, bagi 10 tahun pertama (Disember 2012 hingga Disember 2022), perjanjian itu memberi peluang untuk sewaan dinaikkan sebanyak 3.5% setiap tahun.
Menurut firma itu, penyewa baharu, Sunway XFarms, sedang mengintai pelancaran ladang menegak dalaman terbesar di Kuala Lumpur pada suku ketiga FY22.
Ladang baharu itu, katanya, akan meningkatkan kadar penghunian daripada 27% pada suku pertama FY22 kepada 40%.
"Ia akan mengambil 3 tingkat seluas 37,000 kaki persegi dari kawasan lantai boleh disewa di Sunway Tower.
"Dengan kadar penghunian yang rendah sebelum ini, pihak pengurusan berharap kemasukan Sunway XFarms akan membawa masuk lebih ramai penyewa untuk Sunway Tower," katanya.

Untuk pemerolehan hartanah perindustrian seterusnya, Sunway REIT sedang meninjau aset yang terletak di bandar peringkat pertama, termasuk Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Melangkah ke hadapan, kumpulan menyasarkan hartanah perindustrian dengan hasil sekurang-kurangnya 6.5%.
"Sunway REIT telah mengekalkan sasarannya untuk meningkatkan nilai hartanah REIT kepada RM14 hingga RM15 bilion menjelang 2027.
"Dengan nilai hartanah semasanya sebanyak RM8.7 bilion, kumpulan memerlukan RM5 hingga RM6 bilion lagi untuk membiayai potensi pengambilalihan akan datang," jelasnya.
Secara keseluruhan, Sunway REIT adalah pilihan utama AmInvestment bagi sektor REIT didorong kepelbagaian pendapatannya yang boleh mengurangkan risiko penurunan.
Ini kerana katanya, portfolio kumpulan merangkumi pusat beli-belah, pejabat, hotel, universiti, hospital dan hartanah perindustrian di seluruh negara.
"Kami juga kekal kukuh terhadap prospek Sunway eMall, yang menawarkan penghantaran dan koleksi dalam kedai untuk membeli-belah dalam talian di seluruh pusat beli-belah fizikalnya.
"Selain itu, kumpulan juga diiktiraf untuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya, Sunway REIT adalah yang pertama dalam kalangan pemain industri tempatan yang menggabungkan pertimbangan kewangan kemampanan dalam strategi pengurusan modal," katanya.
Setakat 12.01 tengah hari, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.47 sesaham dengan 421,800 saham diniagakan. - DagangNews.com








