KUALA LUMPUR 15 Feb - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) merekodkan jualan 11.3% atau 314,000 unit pada tahun ini melangkaui unjuran Kenanga Research sebanyak 4% atau 290,000 unit.
Menurut firma penyelidikan itu, jualan itu akan dirangsang oleh beberapa pelancaran kenderaan yang bermula dengan perkenalan Perodua Axia serba baharu semalam.
Oleh itu, firma itu menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2023 sebanyak 4.3% atau 720,00 unit
Ini akan menjadi pertumbuhan TIV yang mendatar berbanding ramalan penguncupan 9.8% atau 650,000 unit oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
“Kami percaya TIV 2023 akan kekal pada tahap rekod 2022 disokong oleh pemberhentian sementara kenaikan OPR dan harga kereta baharu yang stabil, hasil penangguhan peraturan duti eksais baharu yang boleh menyebabkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat sebanyak 8 hingga 20%.
Kenangan Research menambah, TIV juga akan didorong oleh tunggakan tempahan industri yang sihat sebanyak 350,000 unit pada akhir Januari 2023, hampir separuh daripada unjuran firma itu terhadap TIV 2023 sebanyak 720,000 unit.
"Oleh itu, kami mengekalkan ‘overweight’ pada sektor automotif," kata firma itu.
Pilihan utama firma tersebut bagi sektor automotif adalah MBM Resources Bhd dan UMW Holdings Bhd dengan menaikkan unjuran pendapatannya sebanyak 2-7% dan menaikkan harga sasaran (TP) masing-masing sebanyak 8% (RM4.80) dan 3% (RM4.95). – DagangNews.com








