Kenanga Research semak semula unjuran kadar pengangguran tahun ini lebih rendah pada 3.8% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research semak semula unjuran kadar pengangguran tahun ini lebih rendah pada 3.8%

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Dis - Aktiviti pengambilan pekerja dijangka bertambah baik sejajar dengan pemulihan ekonomi global berdasarkan kepada prestasi pasaran buruh pada Oktober 2022 yang menyaksikan bilangan penganggur menurun ke paras terendah sejak pandemik COVID-19.

 

Ini mendorong Kenanga Research menyemak semula unjuran kadar pengangguran tahun ini kepada 3.8% daripada 3.9% sebelum ini berikutan penambahbaikan dalam pasaran buruh disokong pelbagai dasar dan pemulihan berterusan dalam subsektor pelancongan dan pengangkutan.

 

"Di sebalik jangkaan kelembapan ekonomi global pada 2023, kami percaya permintaan domestik yang kukuh menyokong aktiviti pengambilan pekerja dengan pemulihan ekonomi global dijangka bermula seawal separuh kedua 2023. 

 

"Oleh itu, kami turut menjangkakan kadar pengangguran menurun kepada 3.3% pada 2023," katanya dalam nota kajian pada Isnin.

 

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bilangan penganggur berkurangan 0.5% kepada 602,000 pada Oktober berbanding 605,000 pada bulan sebelumnya, menurun ke paras terendah sejak pandemik COVID-19.

 

Pada bulan tersebut, kadar pengangguran kekal pada 3.6%, iaitu 0.3 mata peratus lebih tinggi berbanding Februari 2020. 

 

Bilangan tenaga buruh terus bertambah, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% merekodkan 16.68 juta orang manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) Oktober kekal pada 69.7%.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi tenaga buruh yang optimistik pada Oktober 2022 mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, hasil daripada aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada 8.6% berbanding 3.1% pada 2021.

 

"Unjuran ini dijangka terus menyederhana kepada 4.3% pada 2023 di tengah-tengah jangkaan kelembapan ekonomi global dan normalisasi aktiviti ekonomi selepas pandemik COVID-19," katanya. - DagangNews.com