Kenanga Research semak naik unjuran pendapatan Mah Sing bagi FY23-24 sebanyak 21%, 17% | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak naik unjuran pendapatan Mah Sing bagi FY23-24 sebanyak 21%, 17%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Kenanga Research menaikkan unjuran pendapatan Mah Sing Group Berhad bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 21% dan 17%.

 

Firma penyelidikan itu mengambil kira pinjaman dan kadar faedah yang lebih rendah, di mana 71% daripada pinjaman kumpulan adalah tetap, dengan sebahagiannya ditambat pada kadar rendah sebanyak 3 hingga 4.9% yang telah didapati semasa wabak.

 

Mengulas mengenai pendapatan Mah Sing pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) baru-baru ini, Kenanga Research berkata keuntungan bersih RM50.1 juta kumpulan melebihi anggaran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing sebanyak 31% dan 28% disebabkan kos pembiayaan yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

 

BACA: Mah Sing catat untung bersih RM50 juta dalam suku pertama 2023

 

 

“Varians terhadap unjuran kami berpunca daripada kos pembiayaan yang lebih rendah daripada jangkaan disebabkan pinjaman dan kadar faedah tetap lebih rendah.

 

“Aliran tunai masuk yang kukuh selepas projek sedia ada disiapkan telah mengurangkan pergantungannya kepada pembiayaan luaran untuk pelancaran dan keperluan operasi akan datang,” ujar firma tersebut dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, jualan hartanah kumpulan berada di landasan untuk memenuhi sasaran firma itu sebanyak RM2.2 bilion dengan pelancaran baharu bernilai RM1.5 bilion untuk sepanjang tahun ini.

 

Manakala kerugian bahagian sarung tangan telah mengecil disebabkan usaha pengurangan kos.

 

“Sementara bahagian sarung tangan kumpulan berkemungkinan kekal merugikan bagi suku-suku berikutnya, kami meramalkan kerugian akan mengecil didorong oleh jumlah jualan lebih baik disebabkan pengetatan kawalan kos, kos input lebih rendah dan purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi sedikit,” tambahnya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 70 sen sesaham.

 

Saham Mah Sing setakat pukul 12:15 tengahari telah menokok 0.5 sen atau 0.8% kepada 60 sen sesaham, memberikannya modal pasaran berjumlah RM1.46 bilion. -DagangNews.com