Kenanga Research semak naik penarafan LPI Capital kepada 'outperform' dengan TP tidak berubah | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak naik penarafan LPI Capital kepada 'outperform' dengan TP tidak berubah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kenanga Research menyemak naik penarafan LPI Capital Berhad kepada 'outperform' daripada 'market perform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM14.10.

 

Firma itu berkata, berdasarkan kepada harga semasa ia secara tidak langsung meningkatkan peluang membeli kerana premium kumpulan itu adalah berdasarkan prospek pendapatan dan dividen yang lebih baik.

 

Selain itu, kumpulan itu juga mendapat sokongan daripada Public Bank.

 

"Kumpulan itu dijangka menerima manfaat daripada Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 17 (MFRS 17) pada 2023 disebabkan oleh gabungan polisi jangka panjang lebih tinggi seperti kebakaran.

 

"Tiada sebarang perubahan dibuat terhadap TP berdasarkan penarafan tiga bintang amalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kami tetapkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih LPI Capital susut kepada RM74.75 juta pada suku ketiga

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu susut 29% kepada RM74.75 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, berbanding RM105.38 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Ini berikutan keuntungan yang lebih rendah daripada segmen insurans amnya, yang menurun sebanyak 24.4% kepada RM88.1 juta daripada RM116.6 juta pada tempoh sama 2021.


Firma itu berkata, penyahtarifan segmen insurans kebakaran utama kumpulan itu boleh menimbulkan tekanan kepada kumpulan terutama dengan julat harga yang lebih liberal dalam pasaran.

 

Katanya, permintaan berterusan untuk kereta baharu boleh diterjemahkan kepada bacaan premium motor yang menyokong pada suku akan datang.
 

"Pada masa sama kami percaya tekanan daripada tuntutan akan stabil dalam jangka masa terdekat yang mungkin mengekalkan kadar pengekalan pada tahap yang lebih optimum," katanya. - DagangNews.com