Untung bersih LPI Capital susut kepada RM74.75 juta pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Untung bersih LPI Capital susut kepada RM74.75 juta pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Okt - Untung bersih LPI Capital Bhd. susut 29% kepada RM74.75 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, berbanding RM105.38 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Ini berikutan keuntungan yang lebih rendah daripada segmen insurans amnya, yang menurun sebanyak 24.4% kepada RM88.1 juta daripada RM116.6 juta pada tempoh sama 2021.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat sedikit kepada RM429.64 juta daripada RM427.91 juta dipacu pertumbuhan dalam premium perolehan kasar sebanyak 0.8% atau RM3 juta daripada segmen insurans amnya. 

 

Ini menjadikan keuntungan bersih bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022 susut kepada RM193.04 juta daripada RM271.61 juta dengan pendapatan juga susut kepada RM1.22 bilion daripada RM1.29 bilion. 

 

Pengerusi dan Pengasas LPI Capital, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, Lonpac Insurance Bhd. (Lonpac), anak syarikat insurans milik penuh kumpulan, terus terjejas akibat Nisbah Tuntutan Ditanggung yang lebih tinggi apabila aktiviti perniagaan dan sosial kembali kepada tahap pra-pandemik meskipun Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada separuh pertama 2022.

 

Pada suku ketiga itu, katanya, Nisbah Tuntutan Ditanggung Lonpac melonjak kepada 42.5% daripada 33.6% yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya.

 

"Insurans kenderaan telah menyumbang kepada kemerosotan tuntutan dengan Nisbah Tuntutan Ditanggung melonjak kepada 66.9% daripada 55.8% pada FY21.

 

"Kedua-dua kekerapan tuntutan motor dan rizab melaporkan peningkatan yang ketara sepanjang suku tahun tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Industri insurans am Malaysia dijangka beralih secara berperingkat ke arah penetapan harga berasaskan pasaran sepenuhnya untuk insurans Kebakaran dan Motor apabila Fasa 2a pelan liberalisasi pasaran bermula pada suku keempat 2022.

 

Beliau berkata, tuntutan yang lebih tinggi selepas pembukaan semula ekonomi dan liberalisasi pasaran akan memberi tekanan ke atas harga untuk produk kebakaran dan motor, yang akan menjadi cabaran utama bagi penanggung insurans am di Malaysia untuk bergerak ke hadapan. - DagangNews.com