Kenanga Research positif langkah TSH lupus tanah di Kalimantan, kekalkan saranan 'market perform' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research positif langkah TSH lupus tanah di Kalimantan, kekalkan saranan 'market perform'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' terhadap TSH Resources Bhd. dengan harga sasarannya pada RM1.05 di sebalik langkah kumpulan melupuskan tanah ladangnya di Kalimantan, Indonesia. 

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Koh Huat Soon yakin langkah tersebut setelah dimuktamadkan dapat membantu syarikat perladangan ini mengurangkan beberapa bayaran hutangnya. 

 

"Sekiranya keseluruhan pertimbangan daripada RM678.97 juta juta digunakan untuk membayar semula pinjaman, pengurangan dalam perbelanjaan faedah selepas cukai dianggarkan kira-kira RM25 juta setahun.

 

"Malah, TSH juga akan memperoleh keuntungan bersih daripada pelupusan itu sebanyak RM398 juta," katanya hari ini. 

 

Jumaat lalu, TSH menerusi anak syarikat 90% pegangannya, PT Bulungan Citra Persada (BCAP) bercadang melupuskan 7 bidang tanah pertanian di Kalimantan secara tunai berjumlah RM678.97 juta. 

 

BCAP telah menandatangani perjanjian dasar induk (HOA) dengan PT Kawasan Industri Kalimantan Indonesia dan PT Kalimantan Industrial Park Indonesia bagi cadangan pelupusan tersebut.

 

Malah, BCAP juga bercadang untuk melupuskan tanah yang belum disahkan bernilai RM51,379 sehektar yang akan dibayar sepenuhnya secara tunai.

 

Menurut TSH, rasional HOA adalah bagi membuka jalan untuk perbincangan lanjut dan rundingan eksklusif antara pihak-pihak terbabit sebelum memeterai sebarang perjanjian muktamad.

 

Huat Soon berkata, sebelum ini, TSH berhasrat untuk membangunkan 9,000 hektar daripada kawasan ini kepada hartanah perindustrian dengan rakan kerjasama Indonesia pada 2018 tetapi ia dibatalkan pada 2019. 

 

"Jadi tidak jelas sama ada TSH masih mempunyai hasrat yang sama atau tidak kerana rasional HOA yang terbuka," tambahnya. 

 

Beliau bagaimanapun menyifatkan langkah tersebut adalah positif memandangkan tanah tersebut ketika ini tidak menjana keuntungan atau aliran tunai.

 

"Selain itu, ia dapat membantu mengurangkan bayaran faedah yang lebih rendah kerana hutang yang besar boleh dikurangkan.

 

"Pengembangan masa depan kumpulan juga tidak terjejas kerana TSH masih memiliki kawasan tanah yang luas yang belum dibangunkan lagi," jelasnya. 

 

Setakat 10.06 pagi ini, harga saham TSH menokok 1 sen atau 0.93% kepada RM1.09 dengan 373,300 saham diniagakan. - DagangNews.com