Kenanga kekal saranan 'Neutral' sektor teknologi, Kelington antara pilihan | DagangNews Skip to main content

Kenanga kekal saranan 'Neutral' sektor teknologi, Kelington antara pilihan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kenanga Research mengekalkan saranan 'Neutral' ke atas sektor teknologi walaupun syarikat-syarikat berkaitan mencatatkan pendapatan yang lebih baik daripada unjuran dalam pelaporan suku tahun kewangan baru-baru ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pendapatan sektor teknologi pada suku keempat di tahun 2023 (4QCY23) yang baik berpotensi menjadi permulaan kepada kitaran peningkatan.

 

Katanya, pelabur disaran memilih nama yang terbukti seperti Kelington Group susulan pendapatannya yang jelas keterlihatan disokong oleh buku pesanan RM1.3 bilion.

 

"Kedua adalah INARI kerana peningkatan penglibatan syarikat itu kepada telefon pintar China dan data yang didorong oleh ledakan kecerdasan buatan.

 

"Ketiga pula ialah PIE Industrial untuk trajektori pertumbuhan pendapatan yang kukuh yang didorong oleh luas rangkaian pelanggan," jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, kata Kenanga Research, pendapatan sektor teknologi melepasi unjuran pada suku keempat di tahun 2023 seperti D&O Green Technologies melaporkan suku tahunan tertingginya yang menyaksikan hasil melonjak 33% QoQ didorong oleh penstokan semula oleh pelanggan Chinanya. 

 

"PIE Industrial melaporkan pesanan yang bertambah baik secara menyeluruh manakala KGB (Kelington Group Berhad) mencatat satu lagi rekod mengenai penghantaran projek yang mantap dan margin yang dipertingkatkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research pada masa sama menyarankan pelabur untuk memilih nama-nama yang terbukti berbanding memilih sektor secara umum bagi mengelak pengaruhh faktor musim.

 

Kata firma penyelidikan itu, situasi yang buruk mungkin telah berakhir seperti laporan kewangan bagi sektor teknologi pada suku keempat 2023 tetapi pemulihan akan beransur-ansur. 

 

"Kami menggalakkan pelabur untuk memberi tumpuan kepada nama yang menawarkan kepastian dalam pendapatan, sementara menunggu pengesahan bahawa sektor ini secara keseluruhannya telah berubah," ujarnya..- DagangNews.com