Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021 pacu pembiayaan Bank Islam | DagangNews Skip to main content

Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021 pacu pembiayaan Bank Islam

Para pemenang utama kempen Hari Guru 2021 menerima hadiah RM10,000 bagi setiap kumpulan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mencatatkan peningkatan sebanyak 7.3% atau kira-kira RM1.28 bilion untuk jumlah pembiayaan bagi segmen pelanggan kakitangan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terpilih, menerusi penganjuran Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan-Runcitnya, Mizan Masram berkata, segmen pelanggan yang terdiri daripada guru-guru dan pensyarah telah merekodkan kenaikan sebanyak lebih 8% atau RM491 juta.

 

Beliau berkata, penganjuran kedua-dua kempen itu bertujuan untuk memperluaskan lagi portfolio pembiayaan peribadi BIMB serta mempertingkatkan kesedaran umum terhadap penyelesaian perbankan lengkap BIMB yang turut merangkumi produk seperti Deposit, Pengurusan Kekayaan, Takaful dan Kad Bank Islam. 

 

“Dengan penganjuran kempen ini, kami terus menyediakan kemudahan kewangan dan perbankan yang lengkap dan khusus untuk menyokong kesejahteraan hidup pelanggan, terutamanya dalam landskap yang mencabar. Pada masa sama, ia juga merupakan tanda penghargaan kami atas sokongan dan keyakinan para pelanggan terhadap BIMB.

 

"BIMB sentiasa berusaha untuk menyediakan penyelesaian kewangan lengkap yang inovatif  dan relevan kepada para pelanggan. Syukur alhamdulillah, Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021 telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan dan menunjukkan pertumbuhan jumlah pembiayaan yang signifikan kepada BIMB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, BIMB baru-baru ini meraikan 15 pelanggan terpilih yang memenangi Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021 pada satu majlis yang berlangsung di Grand Hyatt, di sini.

 

 

bimb
Mizan Masram (kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada SMK Seri Aman yang diwakili pengetuanya, Che Man Masan (kiri) selaku pemenang kempen Hari Guru 2021.

 

 

Seramai 10 kumpulan pemenang Kempen Hari Guru 2021 telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 setiap kumpulan, manakala 5 pemenang Kempen Win Big 2021 membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 seorang. 

 

Jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang diserahkan kepada para pemenang kedua-dua kempen tersebut adalah RM250,000. 

 

 

bimb
Para pemenang utama kempen WIN BIG 2021 menerima hadiah RM30,000 setiap seorang.

 

 

Kempen Hari Guru 2021 BIMB, yang telah berlangsung pada 1 Mac sehingga 31 Disember 2021, bertujuan sebagai tanda penghargaan kepada warga pendidik atas pengorbanan, dedikasi dan semangat mereka dalam menyampaikan ilmu terutamanya dalam keadaan semasa yang amat mencabar. 

 

Penyertaan untuk kempen tersebut terbuka kepada para pelanggan baharu dan sedia ada yang terdiri daripada guru-guru, pensyarah dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pengajian Tinggi. 

 

Pemenang berkumpulan dipilih mengikut jumlah pembiayaan terkumpul paling tinggi sepanjang tempoh kempen berlangsung.

 

 

bimb
Mizan Masram menyampaikan replika cek bernilai RM30,000 kepada Dherwinth Kankatharan (kiri) selaku pemenang kempen WIN BIG 2021.

 

 

Turut diraikan pada majlis tersebut adalah pemenang Kempen WIN BIG 2021 yang dianjurkan dari 1 Jun hingga 30 November 2021. 

 

Ia dibuka khusus untuk pelanggan produk Pembiayaan Peribadi-i yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, GLC dan syarikat swasta terpilih. - DagangNews.com