Kempen e-rebat kerajaan dijangka pacu jualan Senheng bagi FY22 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kempen e-rebat kerajaan dijangka pacu jualan Senheng bagi FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Jun - CGS-CIMB Research optimis dengan prospek Senheng New Retail Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dipacu jualan yang lebih kukuh pada suku berikutnya.

 

Firma itu menjangkakan strategi berterusan Senheng seperti memperkenalkan lebih banyak kaedah pembayaran yang inovatif dan pengembangan rangkaian cawangan dengan rekaan lebih menarik akan melonjakkan lagi jualan utamanya iaitu peralatan elektrik dan audio. 

 

"Selain itu, kami juga percaya jualan kelengkapan isirumah akan dipacu oleh 2 kempen e-rebat yang sedang dilaksanakan kerajaan tahun ini iaitu SAVE 3.0 dan Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, yang menyediakan sehingga RM400, dan baucar RM500 sekali sahaja, untuk pembelian peralatan elektrik.

 

"Skim ini dijangka dapat membantu merangsang permintaan untuk perkakasan rumah dan produk audio Senheng," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersih Senheng susut 26.2% kepada RM8.9 juta juta berbanding RM12.06 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan lebih rendah itu disebabkan perbelanjaan operasi dan pentadbiran yang lebih tinggi, termasuk perbelanjaan penyenaraian di Papan Utama Bursa Malaysia.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga berkurangan 1.9% kepada RM367.31 juta daripada RM374.56 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Menurut CGS-CIMB, dalam taklimat bersama kumpulan baru-baru ini, Senheng yakin akan merekodkan prestasi suku ke suku yang lebih kukuh bagi FY22 seterusnya, didorong pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) yang lebih stabil. 

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, perbelanjaan operasi kumpulan masih kekal tinggi memandangkan ia merancang untuk mengembangkan dan menaik taraf 21 cawangan baharu pada FY22.

 

"Namun, kumpulan optimis, ia dapat diimbangi oleh jumlah jualan yang lebih tinggi, diunjur kira-kira 20% pertumbuhan tahun ke tahun pada suku kedua 2022.

 

"Ini berdasarkan kepada momentum jualan pada April dan Mei yang meningkat kemungkinan didorong jualan menerusi segmen isirumah dan audio," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' terhadap Senheng, tetapi mengurangkan harga sasarannya kepada 80 sen daripada 88 sen sebelum ini. 

 

Setakat 11.44 pagi ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.78% kepada 63.5 sen dengan 66,000 saham diniagakan. - DagangNews.com