Kembara Neo 2023 pamer hasil karya pelajar KPSK UiTM Seri Iskandar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kembara Neo 2023 pamer hasil karya pelajar KPSK UiTM Seri Iskandar

Pulau Misa merupakan sebuah perkampungan warisan budaya Melayu yang diangkat sebagai salah satu lokasi pelancongan.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 10 Feb - Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar cawangan Perak akan menganjurkan pameran Kembara Neo 2023 (Eksplorasi Grafik) di Pulau Misa esok.

 

Program ini merupakan penilaian akhir dan pameran bagi pelajar Jabatan Seni Reka Grafik dan Digital.

 

Menariknya, kali ini ia diadakan di luar kampus dengan memilih Pulau Misa yang terletak di Kampung Kepayang, Bota Kiri.

 

Ketua projek, Wan Nurul Izzati Wan Muhammad Zulkifli berkata, seramai  96 pelajar akan mempamerkan hasil kerja mereka untuk dinilai.

 

Jelas beliau yang juga pensyarah Seni Reka Grafik dan Media Digital, pemilihan Pulau Misa bagi mendekatkan lagi jenama UiTM kepada masyarakat di daerah Perak Tengah.

 

"Projek ini merupakan satu inisiatif yang menggalakkan pelajar untuk menggunakan konsep Melayu, Perak, pelancongan dan kebudayaan sebagai bahan pelajaran yang bertemakan Pulau Misa. 

 

"Ia mendapat kerjasama pihak pengurusan Pulau Misa dengan memilih Sabtu kerana bilangan pengunjung dan pelancong yang tinggi.

 

 

uitm
Kembara Neo 2023 pamer hasil karya pelajar KPSK UiTM Seri Iskandar.

 

 

"Menerusi inovasi rekaan grafik yang telah dilaksanakan melalui tugasan subjek, rekaan pelajar akan dipamerkan dan diketengahkan untuk usahasama ini," ujarnya kepada DagangNews.

 

Pulau Misa merupakan sebuah perkampungan warisan budaya Melayu yang diangkat sebagai salah satu tempat pelancongan oleh Majlis Daerah Perak Tengah.

 

 

uitm

 

 

Menurut Wan Nurul Izzati, program ini mendedahkan pelajar untuk mereka cipta rekaan promosi untuk tempat pelancongan dan menjadikannya sebagai skop tugasan.

 

"Dengan menggunakan perisian Adobe Illustrator, Adobe Photoshop dan Adobe In Design, pelajar akan menghasilkan rekaan berbentuk inovasi secara visual.

 

"Pelajar juga akan beramah mesra dengan pengunjung dan pelancong sambil menunjukkan hasil karya," ujarnya. - DagangNews.com