Kemasukan pelancong ke Malaysia catat kadar pemulihan 92% setakat Dis 2022, kata Standard Chartered | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemasukan pelancong ke Malaysia catat kadar pemulihan 92% setakat Dis 2022, kata Standard Chartered

Orang ramai di stesen bas Larkin. - Gambar hiasan oleh silvia
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 April - Ketibaan pelancong ke Malaysia cukup memberangsangkan setakat Disember 2022, mencatat kadar pemulihan sehingga 92% berbanding Disember 2019, didorong terutamanya oleh pelawat dari Singapura.

 

Menurut Global Research Standard Chartered Bank, berikutan pembukaan semula sempadan dan penyambungan semula perjalanan antarabangsa secara meluas pada 2022, ketibaan pelawat ke ASEAN telah meningkat sejak beberapa bulan lalu.

 

Kajian firma tersebut ke seluruh negara ASEAN mendapati Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam (ASEAN-6), jumlah ketibaan pelawat telah pulih secara purata kepada c.60% daripada paras 2019 dan Malaysia mengatasi angka tersebut dengan catatan 92%.

 

"Tidak termasuk pelancong dari China dan Hong Kong, ketibaan pelancong dari ASEAN-6 (kecuali Malaysia) telah pulih kepada 75% daripada paras 2019.

 

"Pemulihan yang lebih perlahan dalam ketibaan dari China dan Hong Kong adalah disebabkan pembukaan semula sempadan mereka yang lebih kemudian; kami menganggarkan bahawa ketibaan hanya kembali kepada 18.4% daripada tahap pra-pandemik.

 

"Kedatangan semula pelancong dari China masih banyak perkara untuk pulih. Kami menjangkakan Thailand akan menyaksikan peningkatan terbesar dalam imbangan perjalanan pada 2023, diikuti oleh Malaysia," kata firma itu dalam nota hari ini.

 

 

Rajah 1: Pelancongan hampir kembali ke paras 2019 di Malaysia

parafrasa

 

Dari perspektif akaun semasa, firma tersebut menjangkakan Thailand mencatatkan peningkatan terbesar dalam imbangan perjalanannya tahun ini, diikuti oleh Malaysia.

 

Pada 2022, imbangan perjalanan Thailand meningkat kepada 0.8% daripada KDNK daripada 0.1% pada 2021, masih jauh lebih rendah daripada purata 2017-19 iaitu 8.6% daripada KDNK.

 

"Imbangan perjalanan Malaysia meningkat kepada -0.1% daripada KDNK pada 2022 daripada -0.9% pada 2021, tetapi masih di bawah purata 2017-19 iaitu +2.2% daripada KDNK.

 

"Imbangan perjalanan yang bertambah baik harus terus menyokong baht Thai (THB) dan ringgit Malaysia," kata Global Research Standard Chartered Bank. - DagangNews.com