KUALA LUMPUR 27 April – Kelington Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Kelington Engineering (Singapore) Pte. Ltd., telah dianugerahkan kontrak Ultra High Purity (UHP) bernilai kira-kira RM102 juta untuk mereka bentuk dan membina sistem penghantaran bahan kimia, serta mereka bentuk dan memasang talian utama utiliti proses dan sambungan di Singapura.
Kontrak telah dianugerahkan oleh peneraju global dalam penapisan, pengasingan dan penulenan berteknologi tinggi.
Penyelesaian penapisannya digunakan merentasi pelbagai industri, termasuk semikonduktor, biofarmaseutikal, makanan dan minuman, tenaga, perindustrian dan aeroangkasa.
Kerja-kerja akan dimulakan pada April 2023 dan dijangka siap menjelang Mac 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelington Group, Ir. Raymond Gan berkata, “Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami telah memperoleh kontrak pertama kami untuk membekalkan sistem penghantaran bahan kimia yang disesuaikan sepenuhnya kepada pelanggan kami".

"Ini merupakan peristiwa penting bagi kami, kerana kami terus memanfaatkan kepakaran kami dalam penyelesaian kejuruteraan bersepadu untuk menyampaikan penyelesaian yang inovatif dan disesuaikan kepada pelanggan kami."
“Selain itu, peralatan UHP untuk projek ini akan direka dan dibekalkan oleh anak syarikat tidak langsung milik penuh Kumpulan, KE System Integration (Chuzhou) Co., Ltd di China. Ini menunjukkan bahawa peralatan fabrikasi dalaman kami diiktiraf dan diperakui untuk digunakan dalam kemudahan pengeluaran termaju.
"Kami percaya ini akan meningkatkan rantaian nilai kami dalam industri serta keuntungan kami pada masa hadapan,” kata beliau.
Melihat ke hadapan kata Gan, syarikat kekal fokus untuk membina kejayaan ini dan terus mengembangkan keupayaan dalam penyampaian penyelesaian khusus untuk pelanggan.
"Dengan pasukan profesional yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman, kami yakin dengan keupayaan kami untuk memenuhi keperluan industri yang berkembang dan memberikan nilai luar biasa kepada pelanggan kami merentasi pelbagai sektor,” tambahnya.
Kumpulan setakat ini telah memperoleh pesanan baharu berjumlah RM569 juta pada tahun kewangan ini berakhir 31 Disember 2023. Termasuk kontrak yang dibawa ke hadapan dari tahun sebelumnya, Kumpulan mempunyai buku pesanan tertunggak sebanyak RM2.269 bilion. - DagangNews.com








