KUALA LUMPUR 16 Dis - Kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka terus mengeruhkan prospek Astro Malaysia Holdings Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 (FY24).
Ini mendorong Kenanga Research mengurangkan unjuran hasil bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 20% dan 14%, sebahagian besarnya disebabkan kenaikan kos kandungan dan operasi lebih tinggi ekoran kelemahan ringgit.
Pada masa sama, dividen bagi FY23 dan FY24 juga dikurangkan masing-masing sebanyak 5.2 sen dan 6.3 sen sejajar dengan panduan nisbah bayaran kumpulan sebanyak 75%.
Sejajar dengan semakan itu, ia menyemak turun harga sasaran Astro kepada 75 sen daripada 90 sen sebelum ini dengan mengekalkan pandangan 'market perform'.
Firma itu kekal berhati-hati terhadap prospek Astro kerana kumpulan terus bergelut dengan pengekalan pelanggan dan penurunan pendapatan purata setiap pengguna (ARPU).
Menurutnya, kelemahan ringgit berbanding dolar AS akan terus mengheret turun prospek kumpulan bagi FY24 memandangkan kos kandungan bersihnya menyumbang 33 hingga 34% daripada hasil dalam tahun kewangan tersebut.
Katanya, kebiasaannya kos kandungan berlegar sekitar 30 hingga 31% tanpa sebarang acara utama.
"Prospek untuk jumlah langganan dan ARPU pula nampaknya bercampur-campur kerana kumpulan terus bergelut dengan penurunan langganan, tetapi, ia menyaksikan aliran menaik dalam ARPU (dikira pada asas 12 bulan) baru-baru ini apabila mereka menawarkan pakej harga pukal lebih tinggi.
"Kumpulan itu berkata bahawa kadar pengekalan pada internet pukal adalah lebih tinggi daripada langganan sendiri," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Hasil langganan semakin merosot, untung bersih Astro menjunam kepada RM5.8 juta pada suku ketiga
Pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022, untung bersih Astro menjunam sehingga 94.5% kepada RM5.8 juta berbanding RM105.92 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan mendadak itu disebabkan kos pembiayaan bersih yang lebih tinggi dengan sebahagian besarnya daripada kesan kadar tukaran asing yang tidak direalisasi daripada liabiliti pajakan kewangan yang tidak dilindungi dan penurunan endapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah.
Ini menyaksikan keuntungan bersih bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2022 susut 38.9% kepada RM204.23 juta daripada RM334.29 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan juga susut 10.6% kepada RM2.81 bilion daripada RM3.14 bilion.
Setakat 11.26 pagi ini, harga sahamnya susut 5 sen atau 7.04% kepada 66 sen dengan 11.5 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








