KUALA LUMPUR 14 Jun - Bahagian ternakan ayam Malayan Flour Mills Berhad (MFM) berdepan masalah jumlah pengeluaran yang rendah pada masa ini disebabkan terdapat kekurangan ayam daripada penternak kontrak, kata AmInvest Research.
“Selain itu, permintaan untuk burung yang diperap dari restoran perkhidmatan cepat adalah lemah pada 1QFY23, manakala pendapatan bahagian tepung dijangka pulih dari 3QFY23 dan seterusnya memandangkan inventori gandum kos tinggi akan digunakan sepenuhnya dalam 2QFY23,” katanya dalam nota hari ini.
Oleh itu, firma penyelidikan itu menurunkan taraf saranan kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) dikurangkan kepada 76 sen sesaham berbanding RM1 sebelumnya.
AmInvestment juga mengurangkan unjuran keuntungan bersih FY23 kumpulan itu sebanyak 30% dan pendapatan bersih FY24 sebanyak 27% untuk mengambil kira sumbangan yang lebih rendah daripada bahagian ayam dan tepung.
Susulan taklimat pengalisis oleh kumpulan itu semalam, firma itu mendapati bahawa kilang ayam di Lumut beroperasi pada kadar penggunaan purata 51% pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding 42% dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Menurut firma itu, kadar penggunaan tersebut adalah di bawah sasaran 75% untuk tahun kewangan 2023 (FY23).
Di samping itu, kebolehtetasan ayam adalah lemah dalam industri ternakan disebabkan oleh genetiknya, menjejas bekalan ayam daging daripada penternak kontrak.
AmInvest berkata MFM menganggap bahawa terdapat kekurangan bekalan sebanyak 20% dalam industri ayam.
“Pada masa yang sama, permintaan terhadap produk ayam dijangka berdaya tahan kerana pengguna beralih kepada ayam daripada daging babi memandangkan wabak selesema babi telah menjejaskan bekalannya di Malaysia,” tambahnya.
Mengulas mengenai bahagian tepung MFM di Vietnam, firma itu berkata kelemahan ekonomi dan kebimbangan inflasi telah menjejaskan permintaan untuk produk tepung yang telah mengeheret jumlah jualan turun sebanyak 11.3% YoY pada 1QFY23.
“Walaupun begitu, kami menganggap bahawa kos gandum yang lebih rendah akan menyokong margin keuntungan operasi dan pendapatan pada masa hadapan,” katanya. -DagangNews.com








