KUALA LUMPUR 4 Okt - Mempertingkatkan kecekapan makanan ternakan dan mencapai prestasi ternakan yang optimum adalah perlu dalam usaha memenuhi permintaan global untuk daging, susu dan telur.
Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Azman Ismail berkata, makanan ternakan memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kemampanan industri ternakan global.
Beliau berkata, strategi dari segi pemakanan/nutrisi ternakan boleh digunakan untuk mencapai matlamat itu.
"Ia termasuklah menggunakan bahan makanan yang sangat mudah dihadam dan berkualiti tinggi seperti kacang soya dan tepung ikan untuk sumber protein dan jagung untuk sumber tenaga," katanya dalam kenyataan media, di sini.
Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Pemakanan Haiwan Ternakan (ICAN 2023) anjuran MARDI yang bertemakan 'Strategi Pemakanan Untuk Meningkatkan Kecekapan Makanan dan Keselamatan Makanan', semalam.
Menurut Azman, menyedari kepentingan protein sumber haiwan, pengeluaran ternakan perlu dilakukan secara mampan dan cekap terutamanya dalam dunia hari ini yang mana semua pihak menghadapi pelbagai cabaran seperti peningkatan populasi global, kekurangan tanah dan sumber, pencemaran, kehilangan biodiversiti, serta perubahan iklim.
"Pemakanan haiwan yang baik dan mencukupi sangat penting untuk meningkatkan produktiviti ternakan," katanya.

Beliau berkata, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), ternakan menyumbang 40% daripada nilai global pengeluaran pertanian dan menyokong mata pencarian, keselamatan makanan dan pemakanan hampir 1.3 bilion orang.
Katanya, permintaan untuk protein haiwan di seluruh dunia juga terus meningkat setiap tahun yang mana FAO juga menganggarkan bahawa pada tahun 2050 permintaan untuk makanan akan meningkat sebanyak 60% dan pengeluaran protein haiwan dijangka meningkat sekitar 1.7% setahun.


"Kelestarian diet haiwan juga sangat penting dalam pembangunan pengeluaran ternakan di seluruh sistem pengeluaran.
"Untuk ini, FAO mengembangkan konsep diet haiwan Lestari (StAnD) yang dapat didefinisikan sebagai diet yang seimbang dalam semua nutrien, bebas dari komponen berbahaya, memenuhi objektif pengeluaran, menghasilkan produk haiwan yang selamat untuk dimakan oleh manusia," katanya. - DagangNews.com








