KUALA LUMPUR 4 Sept - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi membuktikan beliau mangsa pendakwaan politik, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi berkata, sejak dari awal Umno yakin dan percaya bahawa Ahmad Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Tun Mahathir dilantik kali kedua sebagai Perdana Menteri ke-7 sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Lebih mendukacitakan, kezaliman terhadap Ahmad Zahid ini berlaku hanya beberapa minggu selepas Tun Mahathir selaku Pengerusi Bersatu waktu itu mengancam supaya presiden (Ahmad Zahid) membubarkan Umno dalam pertemuan yang diakui sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu dalam satu temuramah media.
"Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan berani dan berbaur angkuh bekas Peguam Negara lantikan Tun Mahathir dalam buku memoirnya "My Story: Justice in the Wilderness" yang dengan jelas memperakui terlibat langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu-individu politik berpengaruh bersama Perdana Menteri ke-7 waktu itu," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi Timbalan Perdana Menteri ini, bagi menggugurkan kesemua tuduhan.
Semasa prosiding, Mohd Dusuki berkata, pihak pendakwaan ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid, 70, berdasarkan 11 alasan, mengikut peruntukan 145 Perlembagaan Persekutuan.

Asyraf berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keputusan yang telah diambil oleh Peguam Negara untuk memberhentikan pendakwaan kesemua baki kes pertuduhan tersebut.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membebaskan dan melepaskan Ahmad Zahid terhadap 40 kes pertuduhan yang terbukti tiada asas dan prima facie untuk didakwa dan disabitkan sebarang kesalahan jenayah pada 23 September 2022, sekali gus membersihkan nama baik beliau.
Asyraf berkata, lebih malang lagi, kes pendakwaan politik ini tetap diteruskan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri, walaupun Tan Sri Idrus Harun dan Tan Sri Azam Baki masing-masing telah dilantik sebagai Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu menggantikan Tommy Thomas dan Latheefa Koya.
"Alhamdulillah, walaupun kedua-dua Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dikekalkan oleh Perdana Menteri ke-10, akhirnya mereka melakukan keputusan yang betul dengan memberhentikan pendakwaan tersebut.
"Bahkan salah satu daripada 11 alasan Pendakwa Raya di Mahkamah Tinggi memberhentikan pendakwaan hari ini memperakui bahawa pendakwaan yang dibuat selama ini secara tergesa-gesa sedangkan siasatan tidak sempurna boleh menjejaskan kredibiliti Jabatan Peguam Negara dan SPRM, yang diperlihatkan menjadi alat pembunuhan musuh politik oleh pihak berkuasa," katanya.
Katanya, ia bagaikan mengesahkan satu memo taklimat yang tular beberapa minggu lepas yang disediakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kepada Peguam Negara waktu itu, Tommy Thomas yang hakikatnya mencadangkan bahawa tiada apa-apa pertuduhan boleh dibuat ke atas Ahmad Zahid kerana tiada sebarang keterangan dan bukti menjurus kepada sebarang perlakuan jenayah adalah suatu yang amat menggemparkan.
"Namun, hanya dua hari selepas tarikh memo tersebut dibentangkan kepada Peguam Negara waktu itu, pendakwaan tetap dilakukan dengan tergesa-gesa seperti ada tangan-tangan ghaib berniat jahat yang membuat pengarahan," katanya.
Dengan keputusan ini katanya, maka semakin jelas kerakusan kepimpinan Tun Mahathir dan parti Bersatu yang sanggup menganiayai pemimpin-pemimpin Umno termasuklah Presiden Umno dengan memperkakaskan institusi-institusi perundangan di negara ini demi gelojak nafsu dan dendam untuk menghancurkan Umno dan kononnya boleh menggantikan Umno dalam perjuangan Islam dan Melayu di negara ini.
BACA JUGA: Ahmad Zahid lepas tanpa bebas daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan AMLA
"Besarlah harapan Umno agar titik-titik hitam dalam sejarah perundangan negara sehingga sistem dan institusi keadilan negara begitu mudah diperalatkan hingga membawa kepada ketidakstabilan politik negara mestilah dititiknoktahkan.
"Umno berpendirian tegas agar di bawah Kerajaan Perpaduan ini, segala pendakwaan politik yang memperalatkan institusi-institusi yang menjadi benteng kepada sistem keadilan negara tidak lagi berulang," katanya.
Katanya, Jabatan Peguam Negara dan SPRM mesti terus bebas dan berani melaksanakan amanah mereka untuk melaksanakan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak termasuklah terhadap pimpinan dan ahli-ahli Umno sendiri. - DagangNews.com








