KUALA LUMPUR 7 Mac - Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia diunjur meningkat kepada 4.5% pada 2024 daripada 3.7% pada 2023, kata Moody's Ratings.
Ini mencerminkan permintaan domestik yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran persekitaran global dan risiko kepada sektor pertanian dan inflasi yang timbul akibat El Nino, kata agensi penarafan kredit itu.
“Persekitaran pasaran buruh yang menggalakkan akan menyokong penggunaan isi rumah, manakala dasar kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan menyokong pelaburan swasta dan awam, serta aliran pelaburan berkaitan peralihan rantaian bekalan serantau," katanya dalam laporan Tinjauan Sistem Perbankan yang diterbitkannya hari ini, lapor Bernama.
Moody's berkata pertumbuhan global yang lebih lemah akan mengehadkan sumbangan eksport bersih kepada KDNK, walaupun ia menjangkakan pemulihan kitaran dalam elektronik dan semikonduktor.
Pada masa yang sama, pasaran hartanah kekal lemah, dengan bilangan unit rumah yang tidak terjual masih tinggi meskipun berkurangan secara beransur-ansur, manakala isu lebihan bekalan terus menekan kadar sewa dan penghunian ruang pejabat dan runcit.
“Kami menjangkakan bank pusat mengekalkan dasar monetari semasa pada paras neutral pada 2024, yang tidak akan mengekang permintaan kredit.
"Kadar pertumbuhan kredit secara keseluruhannya akan berkembang 5.5%, secara amnya stabil berbanding tahun sebelumnya," tambahnya.
Mengenai tinjauan sistem perbankan, Moody's menjangkakan ia akan kekal stabil, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan permodalan bank yang kukuh.
Menurut Moody’s, permintaan teguh domestik akan terus memacu pertumbuhan dalam persekitaran pasaran pekerjaan yang sihat.
“Kualiti aset dan keuntungan bank-bank Malaysia akan kekal stabil, dan kami menjangkakan permodalan akan kekal kukuh.
"Walaupun bank-bank Malaysia lebih terdedah kepada perubahan dalam keadaan mudah tunai disebabkan penggunaan dana pasaran yang lebih besar, bank-bank itu mempunyai akses kepada mudah tunai daripada bank pusat apabila diperlukan," katanya.
Agensi penarafan tersebut turut mengunjurkan pertumbuhan pinjaman secara amnya sejajar dengan pertumbuhan deposit, manakala margin faedah bersih yang stabil dan kos kredit yang sedikit lebih tinggi akan memastikan keuntungan bank-bank Malaysia sebahagian besarnya stabil pada 2024.
Ia menjangkakan penetapan semula harga deposit akan terhad tahun ini dan persaingan deposit menyederhana kerana kadar polisi semalaman kekal stabil.
"Pada masa yang sama, kami menjangkakan kos kredit meningkat pada 2024 kerana peruntukan yang rendah pada 2023, sebahagiannya disokong oleh penggunaan rizab kredit sedia ada," katanya. - DagangNews.com








