KDNK 2022 diunjur melebihi unjuran 6.5 hingga 7%, kata Perdana Menteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KDNK 2022 diunjur melebihi unjuran 6.5 hingga 7%, kata Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 20 Dis - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dijangka melebihi unjuran awal antara 6.5 hingga 7%, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan sentimen yang kekal positif pada hujung tahun 2022 serta prestasi ekonomi yang memberangsangkan ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan fasa peralihan ke endemik COVID-19, kadar pengangguran juga telah menurun kepada 3.6 peratus pada Oktober 2022.

 

"Pun begitu, ia masih belum pulih seperti mana kadar guna tenaga penuh sebelum krisis COVID-19 iaitu 3.3% dan kebimbangan kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur bawah 25 tahun yang masih tinggi iaitu mencecah 10 peratus," katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

 

 

Anwar Ibrahim

 

 

Anwar berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat.

 

Sementara itu, menurutnya, kekusutan konflik geopolitik yang berlaku menekan inflasi global dan melemahkan pertumbuhan ekonomi sementara kenaikan harga komoditi serta bahan makanan turut memberi dampak yang buruk kepada kos sara hidup rakyat Malaysia. 

 

Jelasnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global menurun daripada 3.2% untuk tahun 2022 kepada 2.7% pada 2023.

 

Dalam mendepani dampak global yang mengesankan ini, kerajaan perpaduan mendukung prinsip keseluruhan negara. 

 

"Semua pihak perlu bersama kerajaan dalam memformulasi pendekatan yang menyeluruh. Golongan maha kaya dan konglomerat yang meraih laba yang besar susulan peningkatan harga komoditi dan subsidi kerajaan mesti turut menyumbang ke arah sejahtera rakyat terutamanya B40, M40 dan peniaga kecil," kata Anwar.

 

Misalnya, tambah beliau syarikat Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) telah bersetuju untuk menyumbang RM10 juta bagi tahun ini dan RM50 juta bagi tahun hadapan kepada para pesawah miskin.

 

Kerajaan juga, katanya, sehabis daya akan memperkukuh petunjuk ekonomi, mengembalikan keyakinan pelabur serta bina semula Malaysia. - DagangNews.com