KUALA LUMPUR 4 Jan - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui inisiatif Esports Integrated (ESI) dan Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES) melancarkan soal selidik dalam talian ke seluruh negara untuk mengumpul maklumat dan pandangan tentang ekosistem e-sukan Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kajian menyeluruh tentang ekosistem e-sukan tempatan adalah penting untuk mendapatkan pemahaman mendalam dan maklumat kritikal yang sebelum ini tidak diketahui.
Beliau berkata, ia adalah untuk memastikan bahawa semua keputusan yang dibuat didorong oleh data.
"Memandangkan pemain negara terus mengerahkan segala kemampuan dan mencapai kejayaan di peringkat serantau dan antarabangsa, adalah penting bagi kami melihat secara ke dalam untuk mengukur potensi pertumbuhan pasaran Malaysia dan kesannya pada masa hadapan ke atas ekonomi serta pembangunan belia dan sukan.
"Saya menggesa semua rakyat Malaysia yang aktif bermain atau pernah bermain mana-mana permainan e-sukan pada masa lalu untuk menyertai tinjauan dalam talian ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyelidikan ini akan digunakan oleh KBS bagi membangunkan dasar dan strategi berkaitan e-sukan pada masa-masa yang akan datang, serta sindikasi luaran kepada semua pemegang taruh e-sukan tempatan dan antarabangsa yang terlibat.
Bermula dengan soal selidik dalam talian selama dua bulan dari akhir Disember 2022 hingga Februari 2023, soal selidik yang berlangsung di seluruh negara ini menyasarkan untuk mengumpulkan maklumat penting tentang demografi, psikografi peminat e-sukan Malaysia dan kesan kewangan terhadap mereka.

Soalan-soalan adalah terbahagi kepada 3 kategori utama iaitu, Pengetahuan Am, Persepsi dan Ekosistem.
Soal selidik dalam talian itu disusuli dengan pembentukan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang terdiri daripada pakar e-sukan tempatan dan pihak berkepentingan pada Mac 2023 bagi tujuan perbincangan kumpulan fokus, untuk memahami ekosistem pada tahap yang lebih mendalam dan teknikal.
Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berminat dengan e-sukan atau pernah bermain mana-mana judul permainan e-sukan. Klik https://bit.ly/esports-my untuk menyertai soal selidik ini. - DagangNews.com








