PUTRAJAYA 10 Mei - Kadar pengangguran pada suku pertama 2022 menurun kepada 4.1% berbanding 4.3% pada suku keempat 2021 (Q42021) dengan bilangan penganggur sebanyak 671,200 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, tenaga buruh yang menggalakkan dilihat pada suku tersebut dengan peningkatan bilangan tenaga buruh sebanyak 0.7% bagi suku ke suku merekodkan 16.25 juta orang.
Ia menyaksikan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi direkodkan iaitu pada 69% berbanding suku sebelumnya, 68.7%.
Jelasnya, melihat kepada situasi guna tenaga pada suku tahun tersebut, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.9% mencatatkan 15.57 juta orang berbanding Q4 pada tahun sebelumnya, 15.44 juta orang.
"Sementara itu, bilangan penganggur kekal pada trend penurunan, berkurang sebanyak 3.3% merekodkan 671,200 orang (Q4 2021: 694,400 orang).
"Sehubungan itu, kadar pengangguran yang lebih rendah dicatatkan pada suku tahun tersebut iaitu pada 4.1% berbanding 4.3% pada Q4 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Uzir, pengoperasian aktiviti perniagaan dan sosial pada kapasiti penuh pada suku tersebut telah menyebabkan penurunan dalam bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu iaitu sebanyak 14.6% encatatkan 336,300 orang berbanding Q4 2021 iaitu 393,800 orang.
"Oleh itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan masa atau mereka yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu dan sanggup untuk menerima tambahan jam bekerja mencatatkan penurunan dua digit iaitu sebanyak 16.4% kepada 245,100 orang, mencatatkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa yang lebih rendah pada 1.6 peratus pada suku tersebut (Q4 2021: 293,100 iaitu 1.9%).
"Begitu juga, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang merangkumi mereka yang berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah, berkurang sebanyak 1.5% kepada 1.81 juta orang merekodkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sebanyak 36.9% (Q4 2021: 1.84 juta orang iaitu 37.5%)," katanya.

Melihat kepada kedudukan pengangguran mengikut negeri, majoriti negeri merekodkan penurunan dalam kadar pengangguran pada suku tersebut kecuali Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Sabah.
Putrajaya kekal dengan kadar pengangguran terendah iaitu pada 1.0%, diikuti Pahang (2.4%) dan Melaka (3.0%).
Daripada segi kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) mengikut negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan dalam KPTB yang menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran.
KPTB tertinggi dicatatkan oleh Selangor (75.1%), Kuala Lumpur di kedudukan kedua dengan 74.5% dan diikuti oleh Pulau Pinang (71.1%), Sarawak (70.5%) dan Putrajaya (70.3%).
Mengulas lanjut prestasi keseluruhan bagi Mac 2022, Mohd Uzir berkata, tenaga buruh negara terus meningkat pada Mac 2022 dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% kepada 16.44 juta orang (Februari 2022: 16.40 juta orang).
Sehubungan itu, katanya, KPTB naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 69.2% (Februari 2022: 69.1%), sekali gus menunjukkan lebih banyak penyertaan tenaga buruh dalam ekonomi.
"Kedudukan tenaga buruh yang semakin berkembang pada bulan tersebut susulan strategi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara sebagai pemangkin utama kepada pengukuhan ekonomi dan pasaran buruh.
"Pada Mac 2022, menyaksikan peningkatan guna tenaga yang stabil manakala bilangan penganggur terus menurun selaras dengan pengoperasian berterusan semua aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard, sekali gus memacu kedudukan ekonomi dan pasaran buruh yang lebih rancak pada bulan tersebut," katanya. - DagangNews.com








