KAB yakin terhadap prospek dan kemajuan strategik, sejajar dengan inisiatif tenaga boleh diperbaharui Malaysia | DagangNews Skip to main content

KAB yakin terhadap prospek dan kemajuan strategik, sejajar dengan inisiatif tenaga boleh diperbaharui Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Kinergy Advancement Berhad (KAB) yakin terhadap prospek dan kemajuan strategiknya, sejajar dengan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan mampan negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR) dan Dasar Tenaga Negara (DEB).

 

Memetik hasil kajian Pusat Penyelidikan dan Maklumat Datametrics (DARE) bertajuk ‘Analisis Perbandingan Platform Tenaga Boleh Diperbaharui dan Mampan di Malaysia’, KAB berkata penerapan teknologi mampan kumpulan dalam senario dunia sebenar telah membawa kepada kejayaan yang ketara.

 

Penggunaan teknologi ini oleh KAB, berserta kerjasama mereka dalam biotenaga baru-baru ini dengan Agromate Holdings Sdn Bhd, menunjukkan pendekatan proaktif mereka untuk menangani keperluan tenaga boleh diperbaharui Malaysia dan menyumbang kepada peralihan global ke arah tenaga mampan.

 

Rangkaian projek lestari KAB menunjukkan penjajaran mereka dengan pandangan ini, membuktikan bahawa kelestarian alam sekitar boleh wujud dengan faedah ekonomi dan pulangan pelaburan.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata projek dan inisiatif kumpulan itu bukan sekadar strategi perniagaan, malahan ia adalah sumbangannya kepada peralihan tenaga global ke arah masa depan yang mampan untuk Malaysia dan seterusnya.

 

 “Selaras dengan pandangan daripada hasil kajian Pusat Penyelidikan dan Maklumat Datametrics (DARE) bertajuk ‘Analisis Perbandingan Platform Tenaga Boleh Diperbaharui dan Mampan di Malaysia’, kami lebih yakin berbanding sebelum ini dalam misi untuk mendorong inovasi ke hadapan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

 

"Penjajaran ini dengan matlamat tenaga negara dan global mendorong kami untuk meneruskan perjalanan kami dalam tenaga mampan, memastikan pertumbuhan kami bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan berdaya maju dari segi ekonomi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Berkuat kuasa 18 Disember 2023, KAB menyertai Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM).

 

KAB berkata penyertaannya, ditambah pula dengan pencapaian penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tiga bintang untuk dua tahun berturut-turut (2021 dan 2022), dan penyenaraian penuh dijangka tidak lama lagi daripada FTSE Russell untuk 2023, menggariskan komitmen KAB terhadap ESG, mempamerkan prestasi kukuhnya dalam kelestarian dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

 

“Hala tuju KAB adalah jelas, untuk menerajui peralihan kepada tenaga mampan sambil mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang teguh.

 

“Ini meletakkan KAB sebagai prospek menarik bagi pelabur yang ingin menyumbang kepada pembangunan mampan.

 

“Dengan asas yang kukuh dalam kejuruteraan teknologi tenaga lestari dan tumpuan yang mendalam terhadap penyelesaian inovatif, KAB bersedia untuk pertumbuhan yang ketara pada tahun-tahun akan datang,” katanya.  - DagangNews.com