Juwai IQI perkasa aplikasi Atlas dengan AI cegah pengubahan wang haram | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juwai IQI perkasa aplikasi Atlas dengan AI cegah pengubahan wang haram

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Juwai IQI telah melancarkan usaha anti-pengubahan wang haram dengan memanfaatkan komponen kecerdasan buatan (AI) dalam aplikasi hartanahnya, Atlas, untuk meningkatkan keselamatan dan mengurangkan 50% tempoh pematuhan pembeli rumah.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata syarikat telah menyasarkan untuk menerajui industri dengan mematuhi Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).

 

Syarikat itu merupakan proptech terbesar di Asia dan mengendalikan 30,000 ejen hartanah di seluruh dunia, termasuk salah satu pasukan ejen hartanah terbesar di Malaysia di samping sedang membina 1,000 data kukuh dan pasukan teknologi di ibu pejabat baharunya di Kuala Lumpur.

 

Kashif berkata syarikat itu mahu memastikan rumah kekal mampu milik dan tersedia untuk rakyat dengan mengelakkan sindiket wang haram dan jenayah.

 

"Terdapat sejumlah besar wang haram mencari jalan ke dalam ekonomi biasa, di mana Transparency International menganggarkan terdapat sebanyak AS$32 trilion (RM141 trilion) kekayaan haram di dunia.

 

 

Kashif Ansari
Kashif Ansari

 

 

"Tanpa rejim anti-pengubahan wang haram yang teguh, wang itu boleh memesongkan pasaran rumah dan menyukarkan keluarga untuk membeli rumah sendiri dan membina jaminan kewangan.

 

"Jika kami tidak menangani pengubahan wang haram, ini akan menjejas pasaran rumah persendirian yang sah dan membenarkan penjenayah untuk mendapatkan pengaruh dan memutarbelitkan harga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Kashif, syarikat itu akan menguatkuasakan AMLA menggunakan AI bagi mengurangkan tempoh yang diperlukan pembeli rumah biasa untuk mematuhi AMLA sebanyak 50%.

 

Syarikat itu akan melancarkan alat baharu dalam aplikasi Atlas, di mana pengguna dapat memuat naik dokumen mereka dengan lebih selamat dan secara langsung dan AI mengesahkan dokumen identiti dan ketulenannya.

 

"Memandangkan kami dikehendaki menyimpan dokumen ini selama enam tahun, ia akan dilindungi di sebalik ciri keselamatan yang menggunakan kata laluan, selaras dengan komitmen kami di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya. -DagangNews.com