Juwai IQI jangka pembelian asing bagi hartanah kembali ke tahap sebelum pandemik menjelang akhir 2023 | DagangNews Skip to main content

Juwai IQI jangka pembelian asing bagi hartanah kembali ke tahap sebelum pandemik menjelang akhir 2023

KUALA LUMPUR 14 Jun - Juwai IQI menjangkakan pembelian luar pesisir bagi hartanah Malaysia akan kembali ke tahap sebelum COVID-19 dalam tempoh 18 bulan atau menjelang akhir 2023.

 

Jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada tinjauan ke atas hampir 350 ejen hartanah dengan lebih dua pertiga daripada mereka bersetuju dengan perkara itu manakala 15% ejen percaya pembelian asing akan kembali ke tahap sebelum kemelesetan menjelang akhir tahun.

 

“Daripada jumlah yang percaya bahawa pembelian asing hanya akan mencapai tahap sebelumnya pada tahun depan, 30% yakin Malaysia akan mencapai kejayaan itu menjelang Jun, manakala 23% lagi percayakejayaan itu akan dicapai menjelang akhir tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, Malaysia dilihat mempunyai banyak kelebihan sebagi destinasi pelaburan asing.

 

"Perkembangan ekonomi Malaysia hasil sumbangan daripada harga komoditi menjadikan kita berbeza berbanding negara lain di Asia Tenggara dan ia merupakan titik jualan utama negara.

 

"Kekuatan ekonomi dan perkembangan pasaran pekerjaan menjurus kepada kekuatan prestasi pasaran hartanah dengan kebanyakan pelabur ingin membeli dalam pasaran yang semakin meningkat dan sebahagian kecil membeli ketika kejatuhan harga," katanya.

 

juwai
Kashif Ansari

 

Beliau berkata, sejak 2017 berjaya melonjak daripada kedudukan ke-10 kepada kedudukan kelima destinasi kegemaran pembeli China.

 

Dalam pada itu, beliau percaya bahawa bermula 2022 hingga 2025, Malaysia berpeluang menarik minat lebih ramai pelajar antarabangsa yang berkemungkinan ke Amerika Syarikat (AS) dan Australia manakala pelajar Cina di AS menurun sebanyak 20%.

 

"Malaysia boleh menarik pelajar ke institusi pendidikannya sendiri dan ini akan memberikan faedah besar kepada ekonomi Malaysia," katanya.

 

Pada 2019, lebih 32,000 pelajar antarabangsa mendaftar di institusi pendidikan Malaysia, menyumbang kira-kira 6% daripada jumlah pelajar.

 

Disebabkan oleh kualiti hidup yang tinggi yang ditawarkan serta harga yang agak rendah, Kashif berkata, pasaran kediaman Malaysia kekal menarik pembeli dari seluruh Asia.

 

“Pembeli juga percaya Malaysia mempunyai potensi besar untuk kenaikan harga dan sewa pada tahun-tahun akan datang, menjadikan inilah masa yang baik untuk membeli.

 

“Kami percaya program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), akan terus menjadi program yang berjaya di bawah dasar yang disemak semula,” katanya. - DagangNews.com