Juruterbang berpangkat Datuk dituduh kes mendaratkan helikopter beli 'nasi ganja' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juruterbang berpangkat Datuk dituduh kes mendaratkan helikopter beli 'nasi ganja'

Gambar helikopter yang mendarat di Ipoh pada Julai 2021 untuk mengambil 36 bungkus `nasi ganja'.

IPOH 9 Mei - Seorang juruterbang berpangkat Datuk yang didakwa mendaratkan helikopter di Padang Ipoh untuk membeli 36 bungkus 'nasi ganja' pada Julai tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan melanggar Kaedah-Kaedah Udara dalam penerbangan awam.

 

Datuk Mohamed Raffe K Chekku, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga Pengarah Urusan sebuah syarikat, didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Udara seperti yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam dalam 'Civil Aviation Directive 2 - Rules of the Air' bawah Chapter (Bab) 3, iaitu tidak mematuhi 'Flight Plan' (Pelan Penerbangan) yang dikemukakan.

 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu apabila membuat pendaratan sebuah pesawat jenis Bell 505 bernombor pendaftaran 9M-RCI di lokasi selain daripada Aerodrome yang dinyatakan dalam 'Flight Plan'.

 

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan Padang Ipoh, Jalan Tun Sambanthan, di sini, kira-kira jam 9.50 hingga 10 pagi 23 Julai tahun lalu.

 

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 77(2) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 206(3)(a) Peraturan yang sama,

 

Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

 

 

nasiganja
Datuk Mohamed Raffe K Chekku (depan) didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh, hari ini. - Gambar NSTP/L Manimaran

 

 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jane Sharmila Jesudason menakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, lapor Berita Harian.

 

BACA JUGA: 'Datuk' beli 36 bungkus 'nasi ganja' guna helikopter selesai dirakam percakapan oleh Polis Perak

 

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - DagangNews.com