Jumlah bekerja sendiri cecah 3.06 juta Jun 2024, naik berterusan berbanding 2.39 juta Jan 2021 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah bekerja sendiri cecah 3.06 juta Jun 2024, naik berterusan berbanding 2.39 juta Jan 2021 - Maybank IB

Gambar hiasan Persatuan P-Hailing Malaysia
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Jumlah tenaga buruh yang tergolong dalam kategori penduduk bekerja sendiri iaitu mereka yang berpendapatan harian sama ada penjaja, pekebun kecil sehinggalah pekerja ekonomi gig seperti penghantar makanan mencecah paras tertinggi baharu dalam sejarah negara pada Jun 2024.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah penduduk bekerja sendiri telah meningkat secara berterusan daripada 2.39 juta pada Januari 2024 kepada 3.06 juta pada Jun 2024.

 

"Kategori ini (bekerja sendiri) telah mencapai rekod tertinggi baharu 3.06 juta pada Jun 2024 (Mei 2024: 3.05 juta) memandangkan pertumbuhannya yang lebih kukuh (Jun 2024: +3.8%) berbanding jumlah pertumbuhan guna tenaga (Jun 2024: +1.8% YoY)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, kata firma penyelidikan itu, kadar pengangguran Jun 224 yang tidak berubah pada 3.3% menunjukkan ia kekal selama lapan bulan berturut-turut iaitu sejak November 2023.

 

Bagaimanapun katanya, bilangan penganggur menurun -2.8% YoY dan -0.1% MoM (Jun 2024: 565,300; Mei 2024: 566,100) di tengah-tengah keadaan pasaran tenaga buruh yang stabil (Jun 2024: +1.7% Y: ; Mei 2024: +1.7% YoY) dan pertumbuhan pekerjaan (Jun 2024: +1.8% YoY; Mei 2024: +1.8% YoY).

 

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Kadar pengangguran Jun 2024 kekal 3.3%: Kedah, Selangor terendah - DOSM

 

 

"Menurut DOSM, pertumbuhan pekerjaan dalam sektor Perkhidmatan, khususnya Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman, dan Maklumat, bersama dengan pekerjaan dalam sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan & Pengkuarian, serta Pertanian terus meningkat untuk bulan tersebut," jelasnya.

 

Walau bagaimanapun, Maybank IB berkata, pemberhentian pekerja meningkat sebanyak +21.0% tahun ke tahun dan +48.9% bulan ke bulan pada Julai 2024 kepada 5,184 orang (Jun 2024: +4.1% YoY dan -28.9% MoM kepada 3,481 orang). 

 

"Namun begitu, trend kadar pengangguran yang rendah dan stabil serta penurunan dalam jumlah penganggur menunjukkan bahawa pekerja yang diberhentikan mungkin telah berjaya mendapatkan pekerjaan baru.

 

"Terdapat juga kemungkinan yang mereka telah meninggalkan tenaga buruh sama sekali dengan tidak aktif mencari pekerjaan semula," ujarnya.

 

Maybank IB seterusnya berkata, kadar pengangguran dan pertumbuhan pekerjaan-tenaga buruh kii dalam keadaan "kestabilan” dengan gaji dan upah meningkat.

 

Katanya, selepas kadar pengangguran turun kepada 3.4% tahun lalu daripada 3.8% pada 2022, dijangkakan kadar pengangguran tahunan purata akan sedikit lebih rendah pada 3.3% pada tahun 2024. 

 

"Dengan pasaran pekerjaan yang menyesuaikan diri ke dalam keadaan “kestabilan” dari segi kadar pengangguran serta pertumbuhan pekerjaan dan tenaga buruh, perkembangan utama adalah pada pendapatan pekerja," katanya.

 

Maybank IB dalam nota penyelidikan itu juga membangkitkan mengenai prospek semakan gaji minimum pada tahun 2025 yang kini sebanyak RM1,500.

 

"Beberapa segmen tenaga kerja akan menikmati kenaikan gaji dan upah, contohnya kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 15%-42.7% pada Disember 2024 serta prospek semakan gaji minimum pada 2025 (RM1,500 pada masa ini)," ujarnya. - DagangNews.com