Jualan tidak sepadan belanja operasi mungkin halang pertumbuhan pendapatan 7-Eleven Malaysia - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan tidak sepadan belanja operasi mungkin halang pertumbuhan pendapatan 7-Eleven Malaysia - Maybank IB

7-Eleven Malaysia mempunyai jumlah kedai sebanyak 2,581 buah termasuk 305 7-Café setakat akhir Mac. -Gambar 7-Eleven
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Mei - Pertumbuhan pendapatan yang bermakna buat 7-Eleven Malaysia Holdings dalam jangka pendek mungkin terhalang akibat ketidaksepadanan dalam pertumbuhan jualan berbanding dengan perbelanjaan operasi kedai.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) bagaimanapun mengakui gembira melihat respons pengguna terhadap produk makanan segar 7-Eleven Malaysia yang menunjukkan potensi.

 

"Keputusan 1QFY24 7-Eleven Malaysia di bawah jangkaan kami disebabkan oleh perbelanjaan jualan dan pengedaran yang lebih tinggi daripada jangkaan. 

 

"Kumpulan itu akan terus mempelbagaikan jualan makanan segar dengan margin keuntungan yang lebih tinggi melalui kedai 7-Café sambil menyegarkan tawaran produknya di kedai serbaneka 7-Eleven sedia ada untuk menarik lebih ramai pengunjung," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada akhir Mac 2024, 7-Eleven Malaysia mempunyai jumlah kedai keseluruhan sebanyak 2,581 buah termasuk 305 7-Café.

 

Maybank IB dalam pada itu mengekalkan anggaran pendapatan dan saranan 'Hold' dengan harga sasaran (TP) RM2 sesaham sementara menunggu taklimat keputusan 1QFY24 7-Eleven Malaysia pada 31 Mei ini.

 

"Keuntungan bersih teras 7-Eleven Malaysia pada 1QFY24 sebanyak RM13 juta (-18% YoY, -6% QoQ) berada di bawah jangkaan hanya pada kadar 17%/16% dari anggaran pendapatan tahun penuh kami/konsensus. 

 

"Perbelanjaan jualan dan pengedaran yang lebih tinggi daripada yang dijangka telah menyebabkan kekurangan pendapatan tersebut. 

 

Walau bagaimanapun, pendapatan 1Q24 sebanyak MYR684 juta (+4% YoY, -2% QoQ) adalah sejajar, pada kadar 24% dari anggaran pendapatan FY24E kami," jelasnya.

 

Kata firma penyelidikan itu, perbelanjaan operasi kedai yang lebih tinggi menjejaskan keuntungan bersih.

 

Katanya,  pertumbuhan pendapatan YoY pada 1QFY24 sebagian besar disebabkan oleh sumbangan tambahan dari kedai baru (+88 kedai YoY), peningkatan bilangan pelanggan dan peningkatan tawaran produk. 

 

"Walau bagaimanapun, pelan pengembangan kedai baru dan pengoperasian kedai dengan waktu operasi yang diperpanjang menyebabkan peningkatan perbelanjaan jualan, pengedaran, dan pentadbiran (SG&A, +10% YoY), yang mengakibatkan EBIT 1QFY24 yang lebih lemah sebanyak -1% YoY. 

 

"Keuntungan selepas cukai 1QFY24 (sebelum menyertakan operasi yang dihentikan pada 1Q23) meningkat sebanyak 13% YoY atas dasar kadar cukai efektif yang lebih rendah sebanyak 33% (-7.9ppts YoY)," ujarnya. - DagangNews.com