KUALA LUMPUR 14 April - Perang harga dalam pasaran automotif China yang berterusan jejas segmen motor Sime Darby Berhad dalam tahun kewangan 2023 sehingga 2025 (FY23-25), kata RHB Investment.
Firma penyelidikan itu berkata, isu harga pasaran automotif itu didorong oleh penghujung insentif, ancaman perubahan piawaian pelepasan dan persaingan yang semakin meningkat.
Selain itu, pemulihan perlahan unit perindustrian Sime Darby di China mempengaruhi prospek kumpulan itu yang menjejas daya tahan perniagaan Australasia.
Firma itu mengurangkan pendapatan FY23-25 sebanyak 4% dan 3% mengambil kira pengurangan pendapatan motor China Sime Darby sebanyak 21% dan 11% pada purata harga jualan (ASP) lebih rendah.
Dengan andaian margin yang lebih rendah, ramalan firma tersebut terhadap pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) motor China jatuh sebanyak 37% dan 33%.
“Pendapatan FY24-25 juga dikurangkan kerana kami berpendapat jualan kenderaan tenaga baharu (NEV) kumpulan boleh menghadapi persaingan yang semakin meningkat daripada jenama kenderaan elektrik (EV) China akan datang,” tambahnya dalam nota hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan perang harga, firma itu berkata selepas subsidi EV dan pemotongan cukai kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) berakhir pada 2022, jualan kereta penumpang jatuh 35% bulan ke bulan (MoM) pada Januari.
Menurut firma itu, sebagai tindak balas kepada permintaan perlahan, Tesla mengurangkan harga dan pembuat EV lain mengikutinya, manakala piawaian pelepasan baharu yang ditetapkan untuk dilaksanakan pada 1 Julai akan menyebabkan perang harga merebak ke pasaran kereta ICE, ketika firma berlumba-lumba untuk membersihkan inventori.
“Kami berpendapat perang harga boleh berterusan sehingga Jun berikutan pemain tergesa-gesa untuk menjual kereta yang tidak lama lagi tidak boleh dijual. Diskaun tinggi juga menghakis keupayaan penetapan harga jenama premium dalam jangka masa panjang,” katanya.
Di samping itu, margin auto Sime Darby di China mungkin kekal di bawah tekanan, di mana diskaun berterusan EV BMW di China yang jualannya telah menyusut 2%, dilihat terus melemahkan margin dalam separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23).
RHB Investment mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM2.35 sesaham.
Setakat pukul 12:30 tengahari hari ini, saham Sime Darby menokok 1sen atau 0.5% kepada RM2.17, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM14.79 bilion. -DagangNews.com








