Jualan asing bagi ekuiti Malaysia meningkat kepada RM556.9 juta minggu lepas - MIDF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan asing bagi ekuiti Malaysia meningkat kepada RM556.9 juta minggu lepas - MIDF

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - Pelabur asing telah menjual bersih RM556.9 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu, kira-kira 64% lebih tinggi daripada jualan bersih pada minggu berakhir 3 Mac, menurut MIDF Research.

 

Jualan bersih dilakukan oleh pelabur asing setiap hari dagangan dengan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM183.1 juta pada Isnin dan menyederhana kepada RM58.2 juta pada Khamis berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75%.

 

Namun, jumlah penjualan ekuiti oleh pelabur asing meningkat semula pada Jumaat sebanyak RM140.1 juta.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini menjadikan jualan bersih ekuiti domestik oleh pelabur asing setakat ini berjumlah RM1.24 bilion.

 

“Sektor pembinaan mencatatkan aliran masuk tertinggi sebanyak RM67.9 juta diikuti teknologi (RM13.2 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM7.8 juta).

 

Manakala, jumlah tertinggi aliran keluar adalah dalam sektor perkhidmatan kewangan sebanyak RM359.5 juta diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (RM90.3 juta serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM63.5 juta),” katanya.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan terus membeli bersih ekuiti tempatan untuk minggu kedua berturut-turut sebanyak RM461.3 juta, kira-kira 56% lebih tinggi daripada jumlah yang mereka beli bersih dua minggu lepas.

 

Pelabur institusi tempatan telah membeli bersih ekuiti sepanjang minggu lepas dengan jumlah tertinggi direkodkan pada Isnin sebanyak RM161.1 juta.

 

“Setakat ini, pelabur institusi tempatan telah membeli ekuiti sebanyak RM1.2 bilion,” katanya.

 

Sementara itu, pelabur runcit kekal sebagai pembeli bersih untuk tiga minggu berturut-turut pada kadar RM95.6 juta.

 

“Setiap hari dagangan ialah hari belian bersih oleh pelabur runcit kecuali pada Selasa dengan aliran keluar bersih sebanyak RM4.4 juta,” katanya.

 

Ini menjadikan jumlah pembelian bersih oleh pelabur runcit sebanyak RM44.5 juta setakat ini.

 

Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research mendapati volum dagangan purata harian (ADTV) untuk kesemua pelabur menyusut, di mana pelabur runcit berkurang 3.5% diikuti pelabur institusi tempatan (14.7%) dan pelabur asing (33.1%). -DagangNews.com