KUALA LUMPUR 26 Okt - Johor Port Berhad, ahli Kumpulan MMC, meraikan kejayaan menyempurnakan operasi bunkering gas asli cecair (LNG) ke-100 bersama Petco Trading Labuan Co Ltd (PTLCL).
Johor Port berkata pelaksanaan operasi dengan anak syarikat Petronas itu telah bermula pada November 2020 dengan pembekalan LNG kepada kapal MV Siem Aristotle yang juga merupakan operasi bunkering LNG Malaysia yang pertama.
Hasil kerjasama terbabit, menerusi Petronas Marine, kejayaan tersebut dicapai pada 28 Julai 2023 untuk pengangkut pukal Max Newcastle, Mount Norafjell.
Ini mengatasi Singapura daripada segi bilangan operasi dan jumlah tan bunker, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai perintis hab bunker di Asia, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata had pelabuhan Pasir Gudang di bawah Johor Port terletak pada kedudukan yang paling penting di laluan kapal-kapal daripada arah Timur dan Barat, menjadikan pelabuhan itu lokasi pilihan untuk semua kapal LNG yang melalui laluan tersebut bagi operasi bunkering LNG.
“Pencapaian ini menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan marin yang cekap bagi menyokong pertumbuhan perniagaan LNG di Malaysia.
“Kami sangat mengutamakan hal keselamatan di dalam perkhidmatan dan berpuas hati dengan pelaksanaan operasi bunkering dengan sifar kemalangan yang telah berjaya dijalankan sejak tiga tahun lalu,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTLCL, Shamsul Bahari Salleh berkata kejayaan itu merupakan asas pendorong untuk mengecapi lebih banyak pencapaian pada masa akan datang dalam usaha mereka untuk memacu penggunaan bahan api lebih bersih di dalam industri marin.
“Kami yakin sepenuhnya dengan kapasiti kami untuk mempertingkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab bunkering LNG dan menyokong matlamat kemampanan Pertubuhan Maritim Antarabangsa,” tambahnya. - DagangNews.com








