Izad Sallehuddin dilantik sebagai CEO Principal Islamic baharu | DagangNews Skip to main content

Izad Sallehuddin dilantik sebagai CEO Principal Islamic baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Principal Financial Group mengumumkan pelantikan Izad Sallehuddin sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengarah eksekutif bukan bebas Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd.

 

Izad akan bertanggungjawab dalam memacu perkembangan dan mengawal selia strategi syarikat, operasi dan pembangunan produk Principal Islamic untuk memenuhi keperluan pelabur yang kian berkembang di Malaysia serta Asia Tenggara, Australia, Timur Tengah dan United Kingdom.

 

Izad mempunyai pengalaman bekerja lebih 15 tahun di institusi kewangan global seperti UBS dan Citigroup. Sebelum menyertai Principal, Izad pernah menjadi ketua pengawai operasi di Omesti Berhad. 

 

Beliau memiliki rekod yang cemerlang dalam menguruskan aktiviti pengumpulan dana, serta mengurus dan memulihkan asset syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

 

Beliau juga pernah menjadi pengarah bebas bukan eksekutif bagi AmIslamic Fund Management Sdn Bhd dan juga berkhidmat dalam jawatankuasa pelaburan AmFunds Management Berhad dan AmIslamic Fund Management Sdn Bhd. 

 

Izad juga pernah menyandang beberapa jawatan kepimpinan penting termasuk sebagai ketua pengawai eksekutif di Urusharta Jamaah Sdn Bhd dan ketua pengawai pelaburan di Penjana Kapital Sdn Bhd. 

 

Izad memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang ekonomi daripada London School of Economics and Political Science dan Ijazah Sarjana dalam pentadbiran perniagaan daripada University of Nottingham. 

 

 

principal
Munirah Khairuddin

 

 

Beliau juga menyertai program kepimpinan eksekutif Berkeley di Haas School of Business di University of California, Berkeley.

 

Ketua Pengarah Eksekutif Malaysia dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Principal, Munirah Khairuddin berkata, Izad akan menerajui kesediaan rumusan pelaburan Islam yang holistik serta patuh syariah bagi pelanggan mereka di pasaran awam dan swasta.

 

"Perspektif baharu daripada Izad dan pengalaman yang luasnya akan menjadi sebahagian penting dalam pelan perkembangan kami dan sokongan yang kami berikan kepada pelanggan kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sehingga Ogos 2023, aset di bawah pengurusan perniagaan Islam Principal di peringkat global berjumlah kira-kira AS6.95 billion. - DagangNews.com