Ismail Sabri kesal dengan kenyataan Hannah Yeoh tidak teruskan pembinaan litar perlumbaan drag | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri kesal dengan kenyataan Hannah Yeoh tidak teruskan pembinaan litar perlumbaan drag

Litar perlumbaan drag di Jempol, Negeri Sembilan. - Gambar Vroom Asia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - Bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen ekoran keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri.

 

Ismail Sabri berkata, ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, sebanyak RM20 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar perlumbaan drag untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

 

Beliau berkata, litar drag ini juga akan menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar professional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara. 

 

Ujarnya, kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini merupakan salah satu punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak. 

 

"Menteri Belia dan Sukan seolah-olah tidak memahami aspirasi anak muda dan minat mereka dalam bidang permotoran ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut laporan media, kerajaan pusat tidak bercadang untuk meneruskan cadangan kerajaan terdahulu untuk membina litar perlumbaan drag khas di setiap negeri.

 

Dalam jawapan di Parlimen semalam, Hannah berkata, langkah meneruskan cadangan itu akan menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi selain diselia oleh pakar terlatih.

 

 

ismailsabri
                                                                  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, beliau mencadangkan agar pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meninjau dan melawat litar perlumbaan drag yang telah siap dibina di Terengganu dan Johor. 

 

Katanya, kos pembinaan litar drag di Johor adalah pada kadar minimum seperti  pembinaan litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstand. 

 

"Pembinaan litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap pada 2022 juga hanya melibatkan kos sebanyak RM1.3 juta iaitu satu usaha kerjasama di antara agensi swasta, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri," katanya.

 

Tambah beliau, pihak KBS diharap dapat memberi pertimbangan sewajarnya dengan cadangan tersebut agar satu penyelesaian tuntas dapat diberikan dan seterusnya dimanfaatkan para belia. - DagangNews.com