KUALA LUMPUR 25 Ogos - Iskandar Investment Berhad Ventures (IIBV) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Futurise Sdn Bhd (Futurise), untuk melancarkan Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON) di Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ Iskandar), Johor selaras dengan aspirasi pembangunan industri sukan dron di Malaysia.
Seperti yang dinyatakan dalam MoU itu, Futurise bertanggungjawab untuk membangun dan mengendalikan AKSADRON Iskandar serta menubuhkan makmal kawal selia untuk perlumbaan dron di DRZ Iskandar.
Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, yang diadakan semasa ‘Forum Masa Depan Sukan Dron di Malaysia’ di Medini Iskandar.
Mohd Shahar berkata, beliau berbesar hati dapat menyaksikan kerjasama antara Iskandar Investment Berhad dan Futurise dalam mengambil langkah ke arah memacu industri dron negara ke hadapan.
Beliau berkata, teknologi baharu, automasi dan pendigitalan memainkan peranan penting dalam penciptaan pekerjaan dan penjanaan pendapatan, membina momentum pertumbuhan ekonomi negara.
"Industri sukan dron turut dirancakkan dengan perkembangan pesat industri e-Sukan negara dan kerajaan komited dalam menjadikan Malaysia sebagai hab masa depan untuk sukan baharu ini," katanya dalam satu kenyataan.
Pembukaan AKSADRON di DRZ Iskandar adalah selaras dengan inisiatif "Iskandar New Economic & Talent (NEXT)", program perkongsian awam-swasta bersama Kerajaan Johor yang menyokong agenda ekonomi digital negeri dan memainkan peranan penting ke arah mencapai aspirasi menjadikan Iskandar Malaysia sebagai hab komersial dan digital serantau.
AKSADRON di DRZ Iskandar akan menyokong pembangunan industri dron negara serta Industri 4.0 selaras dengan keperluan teknologi masa kini. Ini termasuk pelaksanaan dron dalam pelbagai sektor termasuk logistik, pendidikan, pembuatan, pertanian dan sukan.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Bin Ahmad berkata, mereka berbangga menjadi sebahagian daripada kerjasama dengan Futurise.
"Inisiatif baharu ini adalah selaras dengan strategi jangka panjang khazanah dalam memajukan Malaysia serta matlamat kami untuk mewujudkan ekosistem dron dan robotik di Iskandar Puteri dengan visi memacu pertumbuhan dalam teknologi dan pembangunan bakat untuk negara dan rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
"Di samping itu, inisiatif ini merupakan satu langkah yang lebih baik untuk Johor serta keupayaan inovasi Malaysia dan berperanan penting dalam memacu teknologi dron dan robotik, sambil mengukuhkan kedudukan sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030," katanya.
Akademi ini terletak di dalam DRZ Iskandar dan mempunyai sebuah litar lumba yang bakal menjadi tuan rumah bagi acara sukan berprestij di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk menjadi perintis program pembangunan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk memupuk kumpulan bakat Johor yang berkemahiran untuk industri baharu ini. - DagangNews.com