KUALA LUMPUR 13 Mac - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyederhana kepada 1.8% pada Januari 2023 dipengaruhi pertumbuhan output yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan positif IPP itu berterusan berbanding 2.8% dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Menurutnya, penyederhanaan dalam pengeluaran perindustrian dipengaruhi pertumbuhan output lebih rendah dalam sektor pembuatan pada bulan berkenaan iaitu 1.3% serta penyusutan output elektrik sebanyak 4.3%.
“Sementara itu, pengeluaran perlombongan berkembang sebanyak 5.9% berbanding 3.9% pada Disember 2022. Pertumbuhan tahun ke tahun bagi IPP bulan Januari 2023 juga merupakan yang terendah dicatatkan sejak Ogos 2021.
“Secara perbandingan bulan ke bulan, IPP terus merosot sebanyak 2.3% selepas mencatatkan penurunan marginal sebanyak 0.6% pada bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Mengulas lanjut mengenai prestasi pengeluaran sektor pembuatan Mohd Uzir berkata, pertumbuhan output dalam sektor tersebut yang lebih rendah dipengaruhi oleh industri berorientasikan eksport yang perlahan kepada 0.6% daripada 2.7% pada bulan sebelumnya.
Tambahnya, walaupun pengeluaran pembuatan komputer, produk elektronik & optikal merupakan penyumbang terbesar kepada sektor pembuatan, pertumbuhan outputnya perlahan kepada 0.8%, selari dengan momentum perlahan dalam sektor perdagangan luaran dan trend penurunan dalam industri semikonduktor global.
“Pada masa sama, pengembangan kukuh dilihat dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis dengan pertumbuhan output sebanyak 11% dan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dengan 8.3%.
Beliau menambah, pengeluaran industri berorientasikan domestik yang menyumbang satu pertiga daripada output pembuatan meningkat sebanyak 2.7% pada Januari tahun ini, didorong oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler yang berkembang sebanyak 12.2%.
Mohd Uzir berkata, pertumbuhan output adalah positif dalam hampir kesemua produk industri berorientasikan domestik kecuali bagi pembuatan minuman dan pembuatan logam asas yang mencatatkan penguncupan pada bulan tersebut.
“Berbanding bulan sebelumnya, output pembuatan terus menyusut sebanyak 3.3% selepas mencatatkan penurunan sebanyak 1.2% pada bulan sebelumnya,” katanya. - DagangNews.com








